Kerjasama UKM, BlackBerry dan PDRM Didik Belia Depani Jenayah Siber

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA PILAH, 2 September 2026 – Isu literasi digital, privasi data dan keselamatan siber tidak lagi sekadar wacana peringkat tinggi di kementerian atau industri, sebaliknya kini berjaya diterjemahkan ke peringkat akar umbi demi membentengi golongan belia dengan perisai ilmu.

Langkah proaktif itu direalisasikan menerusi program kemasyarakatan anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melibatkan penyertaan lebih 100 pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata keterlibatan para pelajar itu amat bermakna kerana fokus kini beralih sepenuhnya kepada pemerkasaan keselamatan siber dan literasi digital sebagai kemahiran kelangsungan hidup abad ke-21.

“Landskap cabaran ruang siber masa kini, daripada isu jejak digital, manipulasi maklumat peribadi, sehinggalah ke jenayah siber menuntut belia untuk bertransformasi daripada pengguna teknologi yang pasif kepada warganegara digital yang berwaspada dan bijaksana,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Program Kemasyarakatan IKMAS-UKM: Pemerkasaan Literasi Digital dan Keselamatan Siber Belia di SMK Tunku Besar Burhanuddin, baru-baru ini.

Penutupan majlis disempurnakan oleh Pro Canselor UKM, Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Sufian turut merakamkan penghargaan atas sokongan gergasi teknologi antarabangsa, BlackBerry Limited serta barisan penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, sinergi model Quadruple Helix membuktikan komitmen jitu universiti, industri, penguat kuasa dan komuniti dalam mendepani isu negara.

“Kepada anak-anak SMK Tunku Besar Burhanuddin, jadikanlah segala maklumat dan taklimat interaktif pada hari ini sebagai benteng pertahanan anda di dunia maya.

“Ingatlah bahawa kecerdasan digital bukan sekadar tentang seberapa pantas anda menggunakan teknologi baharu, tetapi seberapa bijak anda melindungi diri,” tambahnya.

Beliau berkata program sehari itu secara langsung menterjemahkan aspirasi TEKAD 57 UKM (Pelan Strategik UKM 2026–2030) yang meletakkan kelestarian komuniti sebagai fokus utama, sekali gus membuktikan peranan UKM yang sentiasa bernadi bersama rakyat.

Leave a Reply