Oleh Prof Madya Dr Nor Azian Abdul Murad
Program intervensi kesihatan selama empat bulan di bawah projek Komuniti@UniMADANI mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan dalam usaha membantu masyarakat menangani masalah berat badan.
Seramai 427 peserta di sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur telah menyertai program ini dan keputusan menunjukkan selepas intervensi, kebanyakan parameter yang dikaji termasuklah nisbah ukur lilit pinggang punggul (WHR), indeks jisim tubuh (BMI), ukur lilit pinggang, tekanan darah, peratus lemak badan, jumlah lemak pada ruang abdomen (perut, usus dan hati) menurun menunjukkan kesan yang baik. Paras gula darah hanya menunjukkan peningkatan yang tidak signifikan. Jumlah berat otot skeleton dan jumlah berat otot relatif kepada tinggi meningkat menunjukkan kesan yang baik.
Peserta menjalani intervensi melalui diet, aktiviti fizikal dan rawatan ubatan menggunakan Contrave®, dibahagikan kepada kumpulan kawalan, kumpulan dengan diet dan aktiviti fizikal serta kumpulan diet, aktiviti fizikal dan rawatan ubatan. Pemeriksaan kesihatan yang lengkap juga dilakukan dan ini termasuklah ukuran BMI, tekanan darah, komposisi badan, jumlah gula dan kolesterol di dalam darah.
Selain BMI, indeks komposisi tubuh juga penting untuk diukur kerana BMI hanya melibatkan ukuran luaran dan tidak mencerminkan jumlah lemak dalam badan. Indeks komposisi tubuh boleh diukur menggunakan mesin imbasan Dual-Energy X-ray absorptiometry (DXA).
Teknik ini boleh menentukan kandungan lemak pada organ terutamanya pada bahagian abdomen (perut, usus dan hati). Kandungan lemak yang tinggi pada organ boleh membahayakan kesihatan, terutamanya pada jantung yang boleh menyebabkan serangan jantung.
Melalui program ini, peserta juga diberikan tips tentang diet yang sihat dan seimbang dengan mengamalkan konsep pinggan suku-suku-separuh. Amalan pemakanan yang seimbang dengan meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat berlebihan adalah penting untuk mengekalkan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes.
Selain itu, gaya hidup sedentari dan kurang aktif perlu dielakkan dengan mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten, sekurang-kurangnya 30 minit sehari, bagi membantu mencegah obesiti dan meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.
Pelbagai aktiviti diadakan melalui Program Komuniti@UniMADANI termasuklah Forum Kesedaran Obesiti: Generasi Sihat, Masyarakat Madani. Forum yang dihadiri oleh penduduk sekitar Cheras ini memperkukuh penglibatan komuniti dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran mengenai obesiti. Selain menghadiri sesi perkongsian dalam forum, para peserta turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI).
Dalam konteks kesihatan, penganjuran forum ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penyakit obesiti serta langkah pencegahan awal, terutamanya melalui diet sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal secara konsisten. Forum ini merupakan salah satu program di bawah Projek Menangani Obesiti – Intervensi dan Penggunaan Wearable ke Arah Komuniti Sihat, Sejahtera dan Madani. Melalui forum ini, peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat penting berkaitan obesiti termasuklah definisi obesiti dan kaedah pengukuran BMI.
Komuniti@UniMADANI merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi memperkasa kerjasama strategik antara universiti dan masyarakat untuk terus menyumbang ke arah kesejahteraan mampan, selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Program ini menyediakan platform kesedaran kesihatan kepada semua peserta yang boleh diperluaskan kepada rakan-rakan dan keluarga terdekat melalui perkongsian maklumat tentang obesiti, diet atau pemakanan sihat serta kaedah memasak serta aktiviti fizikal yang boleh dilakukan mengikut usia dan kesesuaian dalam bentuk video serta helaian maklumat.

