BANGI, 29 Ogos 2026 – Kesihatan mental merupakan salah satu bahagian yang penting daripada kesejahteraan remaja. Alam persekolahan bukan sahaja tempat memperoleh ilmu, malah menjadi fasa penting dalam pembentukan identiti, kemahiran sosial dan keupayaan mengurus emosi.
Justeru, pelajar perlu didedahkan kepada pengetahuan tentang kesihatan mental serta cara mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Bagi meningkatkan pengetahuan pelajar berkenaan kesihatan mental, Sekolah Menengah Islam Integrasi Puncak Jalil telah mengadakan Minggu Kesedaran Kesihatan Mental 2026, baru-baru ini.
Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fitri Fareez Ramli dijemput menyampaikan ceramah yang merangkumi pengenalan kepada kesihatan mental, gangguan kesihatan mental yang lazim dalam kalangan remaja, kepentingan penjagaan diri serta sesi tunjuk cara teknik relaksasi seperti pernafasan kotak dan pembumian (grounding).
Melalui beberapa senario kehidupan harian, pelajar turut diberikan panduan untuk mengenal pasti keadaan yang memerlukan pertolongan.
“Penjagaan diri merupakan salah satu cara yang perlu dipupuk bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.
“Tidur yang cukup, senaman berkala, diet yang seimbang dan hidrasi yang mencukupi berupaya mengekalkan kesejahteraan diri dalam kehidupan sehariani,” kata Dr Fitri Fareez.
Beliau berkata perbualan tentang kesihatan mental perlu dinormalisasikan supaya pelajar berasa lebih selesa untuk berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan.
Semenara itu, Kaunselor sekolah, Nurul Syuhada Mohd Nasir berharap program yang diadakan itu dapat membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih prihatin.
“Semoga Minggu Kesedaran Kesihatan Mental ini dapat menjadi salah satu usaha dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih memahami emosi, prihatin terhadap kesejahteraan mental dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Beiau berkata pendidikan kesihatan mental di sekolah penting supaya pelajar bukan sahaja mengenali emosi sendiri, malah mengetahui bahawa mendapatkan bantuan apabila diperlukan merupakan sebahagian daripada penjagaan diri.
Selain ceramah, pameran interaktif yang menguji fungsi kognitif dan menggalakkan interaksi sosial turut diadakan bagi membantu pelajar mengenali emosi melalui zon sedia, rehat, perlahan dan berhenti.
