Oleh Dr. Mohamad Azwan bin Aziz
BANGI, 29 Ogos 2026 – Southeast Asia Women Citizen Dialogue (SEA-WCD Malaysia) menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent) melibatkan enam institusi bagi menjalin kerjasama dalam agenda pemerkasaan wanita.
Enam institusi yang terlibat ialah Guardian Girls Malaysia, United Nations University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), United Nations Population Fund (UNFPA), Majlis Olimpik Malaysia dan National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO).
Pemeteraian LoU itu melibatkan kerjasama antara institusi akademik, badan antarabangsa, organisasi sukan dan masyarakat dalam pelaksanaan agenda pemerkasaan wanita secara berterusan.
SEA-WCD merupakan wadah wacana mengenai masa depan wanita yang memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan perbincangan kepada tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.
Program ini menghimpunkan pemimpin, pakar, ahli akademik, organisasi antarabangsa, tokoh sukan dan golongan belia bagi membincangkan isu berkaitan kepimpinan, keselamatan serta pemerkasaan wanita.
Para peserta turut didedahkan dengan demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Ju-Jitsu, dan Aikido.
Presiden Guardian Girls International, Carolina Koyamada (Nia Lyte), berkata sesi praktikal ini membuktikan bahawa sukan berupaya membina disiplin, ketahanan mental, keyakinan diri dan kemahiran perlindungan kendiri.
“Sukan mempunyai peranan besar dalam usaha mencapai kesaksamaan gender serta pemerkasaan wanita.
“Apabila digabungkan dengan dialog dan pendidikan, sukan dapat membantu membina keyakinan diri, daya tahan dan kepimpinan, di samping mewujudkan komuniti yang lebih kukuh serta membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk memimpin,” katanya.
Di samping itu, Pengerusi Guardian Girls International, Shin Koyamada berkata, penganjuran SEA-WCD Malaysia menunjukkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menyediakan peluang golongan wanita.
“Melalui sukan, dialog dan pendidikan, kita dapat mewujudkan peluang bermakna kepada golongan wanita untuk memimpin, mengambil bahagian dan terus maju,” katanya.

