Pelajar UKM-GSB Santuni Orang Asli, Perkasa Ekonomi Komuniti, Keusahawanan Sosial, Pendidikan dan Kebajikan

Oleh Lee Ai Wei
Foto Sahabat Lestari Team, Lee Ai Wei, Musriah Binti Awang

HULU LANGAT, 23 Ogos 2026 – Sekumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti Orang Asli Kampung Bukit Lagong dan Rumah Anak Yatim Dan Hidayah Al-Hijrah (RAYDHA), di sini dalam memperkasa ekonomi komuniti, keusahawanan sosial, pendidikan dan kebajikan.

Program CSR Sahabat Lestari Team yang dilaksanakan oleh Sahabat Lestari Team UKM-GSB itu  menggunakan pendekatan Community-Based Social Enterprise (CBSE) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan projek penanaman terung di Kampung Orang Asli Bukit Lagong sebagai satu usaha untuk membantu komuniti membangunkan kemahiran pertanian dan meneroka potensi sumber pendapatan secara lebih mampan.

Program yang mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Treat Every Environment Special (TrEES) itu menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada TNB melalui Pejabat Sokongan Perniagaan (BSO) Selangor bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan.

Sumbangan tersebut digunakan bagi membantu menyediakan keperluan projek termasuk peralatan pertanian, benih, keperluan penanaman, operasi projek serta tenaga manusia.

Ketua Sahabat Lestari Team, Mohd Khairuzzaman Kamarudin berkata projek tersebut memberi peluang kepada pelajar MBA untuk mengaplikasikan ilmu pengurusan yang dipelajari kepada situasi sebenar dan pada masa sama memberi manfaat kepada komuniti.

“Projek ini memberi peluang kepada kami untuk membawa ilmu yang dipelajari dalam MBA ke lapangan sebenar.

“Apa yang kami cuba bina bukan sekadar sebuah projek tanaman, tetapi satu model yang menghubungkan komuniti, keusahawanan, pendidikan dan kebajikan melalui konsep shared value,” katanya.

Selain bertindak sebagai penggerak dan penyelaras projek, Sahabat Lestari Team turut mengaplikasikan kemahiran dalam perancangan projek, pengurusan pemegang taruh, kewangan, kepimpinan, komunikasi dan pengurusan risiko sepanjang pelaksanaan program.

TrEES pula berperanan sebagai rakan kerjasama NGO dalam aspek penglibatan komuniti, koordinasi dan panduan teknikal, manakala komuniti Orang Asli terlibat secara aktif dalam penyediaan tapak, penanaman, penyelenggaraan tanaman dan proses penuaian.

Program ini turut memperkenalkan model perkongsian hasil yang menghubungkan aktiviti ekonomi komuniti dengan kebajikan masyarakat.

Menerusi model tersebut, 70 peratus daripada hasil jualan sayur-sayuran dirangka untuk disalurkan kepada isi rumah Orang Asli yang terlibat, manakala 30 peratus diperuntukkan kepada RAYDHA.

Pendekatan itu bertujuan mewujudkan satu model perusahaan sosial yang membolehkan aktiviti ekonomi yang dibangunkan oleh sebuah komuniti turut memberi manfaat kepada kumpulan masyarakat lain.

Ketua Zon, Pejabat Sokongan Perniagaan Selangor, TNB Global Business Solutions, Supian Mohd Ali berkata, pendekatan CSR bukan hanya tertumpu kepada pemberian sumbangan, tetapi juga bagaimana sokongan yang diberikan mampu mewujudkan peluang dan manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.

“Kami melihat CSR bukan sekadar mengenai pemberian sumbangan, tetapi mengenai bagaimana sokongan yang diberikan dapat membantu mewujudkan peluang dan manfaat yang berpanjangan kepada komuniti.

“Kami berharap sokongan TNB melalui BSO Selangor dapat membantu menjayakan usaha Sahabat Lestari Team dalam membangunkan potensi ekonomi komuniti Orang Asli serta memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih luas,” katanya.

Dalam program yang sama, Sahabat Lestari Team turut menyampaikan sumbangan buku terpakai kepada RAYDHA yang dikumpulkan daripada sekitar UKM Bangi dan TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), Bangi.

Inisiatif pengumpulan buku tersebut bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu, penggunaan semula sumber serta tanggungjawab sosial dengan membawa mesej ‘Kongsi Ilmu, Bantu Mereka, Bina Masa Depan.’

Program CSR Sahabat Lestari Team mencerminkan usaha pelajar MBA UKM-GSB untuk mengaplikasikan pembelajaran dan kemahiran pengurusan di luar bilik kuliah melalui inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti.

Leave a Reply