Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 7 September 2025 – Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Saw Xin En bakal melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Saw, dari Sungai Petani, Kedah, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 meskipun berdepan masalah penglihatan sejak lahir.
Menurutnya, mata kanannya tidak dapat melihat, manakala penglihatan mata kirinya hanya sekitar 50 hingga 60 peratus berbanding individu biasa akibat masalah pada saraf di belakang mata.
“Bagaimanapun, cabaran itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba dan mencapai impian,” katanya.
Saw berkata masalah penglihatan menjadi antara cabaran utama dalam pembelajarannya kerana beliau memerlukan lebih banyak masa untuk membaca dan memahami bahan pembelajaran berbanding individu biasa.
“Disebabkan masalah penglihatan, saya juga memerlukan lebih masa untuk membaca.
“Jika orang lain boleh melihat keseluruhan teks dan terus mengenal pasti kata kunci, saya perlu membaca perkataan satu demi satu.
“Ketika STPM, subjek Akaun merupakan cabaran besar bagi saya. Tempoh yang diberikan agak singkat dan saya hanya mendapat tambahan masa 30 minit.
“Subjek itu memerlukan banyak pengiraan, selain perlu membaca nombor dengan cepat, menggunakan kalkulator dan menulis jawapan.
Saw merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berkata ibunya merupakan suri rumah, manakala bapanya bekerja sebagai tukang besi di sebuah kilang.
Menurut Saw, beliau memilih UKM kerana reputasinya dalam bidang undang-undang, selain pendekatan pengajaran yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Bagi saya, ini peluang untuk mempelajari undang-undang dalam kedua-dua bahasa,” katanya.
Bagi Saw, pelajar OKU perlu sentiasa percaya kepada diri sendiri walaupun mempunyai kekurangan dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
“Kepada pelajar OKU lain, percaya kepada diri sendiri walaupun mempunyai kekurangan dan terus berusaha. Jangan terlalu memikirkan apa yang orang lain katakan dan beranilah mencuba perkara baharu.
“Masalah penglihatan mungkin membawa kesukaran, tetapi kita tidak sepatutnya takut untuk mencuba.
“Saya sendiri berani menyertai aktiviti kokurikulum dan mengambil jawatan dalam aktiviti tersebut. Bagi saya, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu adalah salah satu langkah menuju kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Wan Nur Mahirah Wan Harun menjadi anak pertama dalam keluarganya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Anak kelima daripada enam beradik dari Kampung Bukit Payung, Jerteh, Terengganu itu bakal mengikuti program Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian di UKM.
“Saya berharap dapat menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi dan meneruskan legasi keluarga.
“Saya juga ingin menjadi anak yang membanggakan ibu bapa serta membalas jasa mereka pada masa akan datang,” katanya.
Anak kepada pesara pemandu dan suri rumah itu memilih UKM kerana kedudukannya sebagai antara universiti terbaik di Malaysia.
“Memandangkan persaingan untuk mendapatkan tempat di universiti ini agak tinggi, saya berasa segala usaha dan pengorbanan sepanjang pengajian akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Kedua-dua pelajar berkenaan merupakan antara 27 pelajar terbaik kebangsaan STPM 2025 daripada 18 Universiti Awam (UA) yang menerima tajaan dalam bentuk yuran pengajian menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).


