Oleh Syazwani Mastor
Foto Khoo Lik Jen
KUALA LUMPUR, 4 September 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmennya dalam memperkasa komuniti kanak-kanak dan remaja yang mengalami kegagapan melalui penganjuran Camp Dream. Speak. Live. Malaysia 2026, baru-baru ini.
Program yang dikendalikan oleh Program Sains Pertuturan dan Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan UKM ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran program pertama di Malaysia pada tahun 2025, hasil kerjasama strategik dengan Arthur M. Blank Center for Stuttering Education and Research, University of Texas at Austin.
Camp Dream. Speak. Live. Malaysia 2026 memberi penekanan kepada pembangunan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, penerimaan diri dan keberanian peserta untuk berkomunikasi dalam pelbagai situasi kehidupan seharian.
Berbeza daripada pendekatan yang hanya memberi tumpuan kepada kelancaran pertuturan, program ini menyediakan persekitaran yang menyokong peserta untuk memahami pengalaman kegagapan, berkongsi pengalaman, membina hubungan dengan rakan sebaya dan meneroka kekuatan diri melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan serta bermakna.
Menurut Ketua Program, Prof. Madya Dr. Chu Shin Ying, penganjuran kali kedua ini memperlihatkan usaha berterusan UKM dalam menyediakan pendekatan intervensi yang holistik kepada kanak-kanak dan remaja yang gagap.
“Camp Dream. Speak. Live. bukan sekadar sebuah kem terapi, tetapi merupakan ruang yang selamat untuk peserta mengenali diri, membina keyakinan dan belajar bahawa mereka mampu berkomunikasi serta mengambil bahagian dalam kehidupan walaupun mengalami kegagapan”.
“Melalui aktiviti yang pelbagai, peserta berpeluang mempraktikkan kemahiran komunikasi dalam suasana yang lebih semula jadi, menyeronokkan dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata kesinambungan program ini penting dalam membina kesedaran masyarakat bahawa individu yang gagap perlu diberikan peluang untuk bersuara, mengambil bahagian dan mencapai potensi mereka tanpa dibatasi oleh cara pertuturan.
“Kami berharap pengalaman yang dibina sepanjang lima hari ini bukan sahaja kekal sebagai kenangan kepada peserta tetapi dapat dibawa pulang dalam kehidupan seharian.
“Keyakinan untuk berkomunikasi, keberanian untuk mencuba dan sokongan daripada komuniti merupakan antara perkara yang ingin kami bina melalui program ini,” tambahnya.
Sepanjang lima hari program peserta mengikuti pelbagai aktiviti berasaskan CARE, peer mentoring dan pembinaan keyakinan diri, termasuk sesi pendedahan diri, komunikasi dan kegagapan.
Program turut diserikan dengan aktiviti kreatif dan interaktif seperti membuat gelang, keychain, jahitan 3D, menghasilkan cermin mata dan kamera sendiri serta aktiviti STEM dan permainan.
Peserta juga berpeluang menyertai aktiviti luar kampus seperti Japanese Dessert – Yu Wagashi, lawatan ke kilang coklat dan Bengkel Mewarna Batik, yang dirancang bagi menggalakkan interaksi, kerjasama dan pembelajaran dalam persekitaran yang berbeza.
Pelbagai aktiviti berkumpulan dan refleksi turut dilaksanakan bagi membantu peserta membina keyakinan dan kemahiran komunikasi dalam suasana yang menyeronokkan serta menyokong.
Penganjuran Camp Dream. Speak. Live. Malaysia 2026 diharap terus menjadi platform yang memperkasakan kanak-kanak dan remaja yang gagap untuk bermimpi, bersuara dan menjalani kehidupan dengan lebih yakin di samping memperkukuh peranan UKM sebagai institusi yang komited terhadap kesejahteraan dan keterangkuman masyarakat.

