KPU FSK Perkasa Amalan Gaya Hidup Sihat dan Lestari Dalam Kalangan Suri Rumah

Oleh Mohammad Shafiq Rahmat
Foto Addina Sofea Azman

BANGI, 11 September 2026 – Seramai 30 ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) menyertai program kelestarian melalui Siri Program Gaya Hidup Sihat dan Lestari, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Advokasi Gaya Hidup Sihat dan Kesejahteraan, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan SRR ini diadakan bagi memperkukuh literasi kesihatan dalam komuniti sebagai salah satu usaha pencegahan obesiti, di samping meningkatkan kesedaran dan amalan gaya hidup lestari.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk demonstrasi penyediaan menu sihat menggunakan hasil tanaman sendiri oleh ahli SRR, sesi perkongsian kemahiran asas perkebunan bandar (urban gardening) serta taklimat penghasilan kompos daripada sisa makanan.

Golongan suri rumah dipilih sebagai kumpulan sasaran kerana mereka memainkan peranan penting dalam menentukan pemilihan, penyediaan dan pengambilan makanan dalam keluarga.

Program tersebut mengetengahkan pendekatan berasaskan bukti dengan memberi penekanan kepada beberapa aspek penting gaya hidup sihat, termasuk pemakanan mengikut ritma sirkadian (chrononutrition), amalan tidur berkualiti, pengambilan sayur-sayuran serta kesedaran terhadap normalisasi amalan pemakanan tidak sihat dalam masyarakat.

Ketua KPU, Prof. Dr. Zahara Abdul Manaf berkata universiti bukan sahaja berperanan menghasilkan ilmu, tetapi juga memastikan ilmu tersebut sampai kepada masyarakat dan dapat diterjemahkan kepada amalan harian.

“Melalui program ini, kami berharap suri rumah dapat menjadi agen perubahan dalam membentuk keluarga yang lebih sihat dan lestari,” katanya.

Pada program itu juga turut diadakan penyerahan Surat Hasrat Kerjasama antara UKM dan SRR sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan usaha memperkasa amalan gaya hidup sihat dan lestari dalam komuniti.

Sementara itu, Dr. Fatin Hanani Mazri menerusi sesi “Bukan Sekadar Tidur” telah menjelaskan kepentingan tidur berkualiti dalam menyokong kesihatan fizikal dan mental.

Dalam sesi itu, beliau menjelaskan bahawa penjagaan kesihatan yang optimum bukan sahaja bergantung kepada pemilihan makanan yang baik, tetapi turut memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi serta berkualiti.

Leave a Reply