Oleh Damia Qistina Hamizan
Foto Sukarelawan Program Malaysia, Jom Check!
KUALA LUMPUR, 5 September 2026 — Seramai 100 sukarelawan mahasiswa daripada enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) digerakkan ke 45 lokasi di seluruh Malaysia menerusi jaringan Kelab AURAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi menyokong pelaksanaan Malaysia, Jom Check! x PeKa Sihat 2026, program saringan kesihatan komuniti anjuran ProtectHealth di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Gerakan itu melibatkan mahasiswa daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui kelab serta organisasi kesukarelawanan masing-masing.
Program yang berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 itu dilaksanakan di lokasi terpilih bagi mendekatkan akses saringan kesihatan kepada komuniti serta menggalakkan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Presiden Kelab AURAS, Muhammad Aqil Fahmi Zaid berkata, penglibatan tersebut menunjukkan jaringan kesukarelawanan mahasiswa mampu digerakkan merentas institusi dan negeri bagi menyokong keperluan komuniti pada skala lebih besar.
“100 mahasiswa daripada enam IPTA yang bergerak ke 45 lokasi menunjukkan apabila jaringan kesukarelawanan mahasiswa bergabung, kita mampu menggerakkan tenaga sukarelawan merentas negeri untuk menyokong keperluan komuniti pada skala yang lebih besar,” katanya.
Menurut beliau, AURAS bertindak sebagai penggerak dan penyelaras mobilisasi mahasiswa dengan menghubungkan kelab kesukarelawanan IPTA, mendapatkan penyertaan sukarelawan serta menyelaras penempatan mengikut keperluan setiap lokasi.
“Sukarelawan membantu mobilisasi komuniti, menyampaikan maklumat berkaitan program dan manfaat PeKa B40, menggalakkan penerima yang layak mendapatkan saringan serta membantu pengurusan pergerakan peserta dan operasi di lokasi.
“Mahasiswa bukan menggantikan petugas kesihatan, sebaliknya menjadi penghubung di lapangan supaya komuniti lebih mudah mendapatkan maklumat, panduan dan bantuan sepanjang proses program,” katanya.
Malaysia, Jom Check! x PeKa Sihat 2026 memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak mendapatkan saringan kesihatan secara percuma melalui PeKa B40. Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 berumur 40 tahun ke atas serta pasangan berdaftar mereka antara golongan yang layak menerima manfaat tersebut.
Saringan yang dikendalikan pasukan kesihatan merangkumi pengukuran tekanan darah, ketinggian dan berat badan, pengambilan sampel darah serta konsultasi bersama doktor.
Penglibatan sukarelawan ini memperlihatkan peranan mahasiswa dalam memperluas capaian maklumat dan akses komuniti kepada inisiatif kesihatan awam melalui jaringan kesukarelawanan rentas IPTA.

