Oleh Melor Suria Minhat
Foto Ahmad Shahiddan Saidi
BANGI, 15 September 2026 – Enam pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada tiga pelajar Sarjana dan tiga pelajar Doktor Falsafah (PhD) menerima Anugerah Biasiswa Kursi Kelestarian UKM-YSD 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik.
Tiga pelajar PhD itu ialah Nur Farisyah Nadiah Mokhtar, Muhammad Farid Rohani dan Lim Hui, manakala tiga pelajar Sarjana ialah Muhammad Farhan Alif Nor Hissam, Muhammad Asyraf Anor dan Wan Aimran Wan Badaruddin.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata penganugerahan ini bukan sekadar pengiktirafan kecemerlangan akademik, malahan satu dorongan untuk pelajar terus memimpin agenda pembangunan mampan.
“Pemberian biasiswa ini melengkapkan jumlah 30 penawaran biasiswa pascasiswazah yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Sime Darby (YSD) sejak tahun 2010,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Syarahan Umum Penyandang Kursi Kelestarian UKM-YSD, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Penyandang Kursi Kelestarian UKM-YSD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin menyamopaiikan Syarahan Umum bertajuk Advokasi Kelestarian dalam Kerangka Al-Mizan.
Majlis tersebut juga turut menyaksikan pelancaran buku Leading with Impact: The Art of Sustainability Leadership, yang merupakan kesinambungan daripada penganjuran Seminar on Sustainability Leadership dan digarap sebagai rujukan dalam bidang kepimpinan kelestarian.
Prof. Dato’ Dr. Sufian berkata kerjasama antara UKM dan YSD bukan sahaja berfungsi sebagai platform wacana ilmu dan penyebaran hasil penyelidikan bertaraf tinggi, malah turut menjadi instrumen pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan pembinaan bakat masa hadapan.
“Kerjasama erat yang terjalin sejak tahun 2010 melalui penubuhan Kursi Kelestarian UKM-YSD telah menjadi contoh kelestarian pendanaan pendidikan dan penyelidikan yang memupuk sinergi terbaik antara sektor akademik dan industri.
“Melalui dana endowmen berjumlah RM15 juta daripada YSD, inisiatif ini telah memangkinkan penyelidikan dan pendidikan dalam tiga Bidang Teras Utama iaitu Perubahan Iklim, Penyelesaian Kitaran Pintar dan Perkongsian Pintar,” katanya.
Tambah beliau, melalui kerjasama kedua-dua institusi itu, seramai 56 graduan menerusi pelbagai projek penyelidikan saintifik dan inovasi telah dihasilkan.
Menurutnya, alumni Kursi Kelestarian UKM-YSD turut berkhidmat di syarikat terkemuka seperti SD Guthrie Berhad, PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain menyumbang sebagai tenaga akademik di institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
“Semoga Kerjasama ini akan terus memberikan impak yang positif kepada masyarakat dan alam sekitar, serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus memperjuangkan agenda pembangunan mampan,” katanya.

