Pengorbanan dan Kepimpinan Tun Abdul Razak Jadi Inspirasi Generasi Baharu

Oleh Melor Suria Minhat
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 22 September 2026 – Pengorbanan, kesungguhan dan kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam membangunkan negara menjadi antara legasi yang terus dikenang sehingga hari ini.

Berbekalkan pengalaman hidup yang dekat dengan kesusahan rakyat, Allahyarham mengabdikan kepimpinannya untuk membasmi kemiskinan, memperluas peluang pendidikan, membangunkan masyarakat luar bandar serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Menurut Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, yang merupakan cucu Allahyarham Tun Abdul Razak, pengalaman hidup Allahyarham membentuk keprihatinan mendalam terhadap kesusahan rakyat dan mendorong beliau untuk memastikan tiada golongan yang ketinggalan dalam pembangunan negara.

“Beliau (Allahyarham) membesar di Pulau Keladi, Pekan dan sering berjalan ke sekolah berkaki ayam sejauh empat batu.

“Disebabkan ini saya fikir beliau memiliki rasa simpati yang amat mendalam dengan kesusahan dan kemiskinan dan bertekad untuk memastikan tiada rakyat di Malaysia khususnya kaum Bumiputera ketinggalan dalam pembangunan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Forum Legasi Tun Abdul Razak sempena Minggu TEKAD Siswa Sesi 2026/2027 yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak.

Forum tersebut turut menampilkan Alumni Sulung UKM, Prof. Dr. Asiah Sarji, manakala Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh bertindak sebagai moderator.

Dalam forum itu, Dato’ Mohamad Nizar turut berkongsi penubuhan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mencerminkan usaha Allahyarham Tun Abdul Razak dalam memperluas peluang ekonomi, membasmi kemiskinan serta membangunkan masyarakat.

Sementara itu, Prof. Dr. Asiah berkongsi pengalaman ketika bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memberi beliau peluang menyaksikan sendiri kesungguhan Allahyarham Tun Abdul Razak turun ke kawasan pedalaman bagi meninjau keadaan dan pembangunan masyarakat.

“Sewaktu bertugas di RTM, kerja saya mengikut Almarhum Tun Abdul Razak membawa alat rakaman yang berat naik helikopter dan naik sampan ke kawasan pedalaman.

“Saya perhatikan sosok tubuh beliau dan belum pernah saya lihat seorang pemimpin yang bekerja tanpa mengenal lelah demi pembangunan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman tersebut memberikan gambaran jelas tentang kesungguhan Allahyarham yang sanggup turun sendiri ke kawasan pedalaman dan berdepan dengan pelbagai cabaran demi memastikan pembangunan dapat dirasai oleh masyarakat.

Selain aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat, Prof. Dr. Asiah turut mengingatkan mahasiswa mengenai tanggungjawab generasi muda untuk meneruskan usaha meletakkan, memartabatkan, memperkasakan dan menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.

Beliau menegaskan bahawa Bahasa Melayu merupakan ‘bahasa jiwa’ dan ‘bahasa tanah air’ yang perlu terus dijunjung serta dipertahankan, selain mengimbau perjuangan pimpinan terdahulu dan mahasiswa terawal UKM dalam membuktikan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.

Perkongsian kedua-dua panel tersebut memperlihatkan bahawa legasi Allahyarham Tun Abdul Razak bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal dan institusi yang diwujudkan, malah turut merangkumi nilai kepimpinan, keprihatinan terhadap rakyat, pembangunan masyarakat luar bandar, peluasan akses pendidikan serta pemerkasaan bahasa kebangsaan.

Forum berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa baharu UKM untuk memahami bahawa kepimpinan yang berkesan menuntut kesungguhan, pengorbanan dan kesediaan untuk mendekati serta memahami keperluan rakyat.

Leave a Reply