Kembar Huffaz al-Quran antara Lapan Pasangan Kembar Mendaftar di UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 September 2026 – Sepasang kembar huffaz al-Quran, Nik Muhammad Rukaini Nik Mohd Kamal dan Nik Ahmad Ruzaini Nik Mohd Kamal, antara lapan pasangan kembar yang mendaftar sebagai mahasiswa baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2026/2027.

Kedua-dua beradik itu mendaftar di UKM bersama lebih 4,000 mahasiswa baharu pada 19 September lalu, sekali gus merealisasikan impian mereka untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Bagi Nik Muhammad Rukaini, kemasukan ke UKM mempunyai kisah tersendiri apabila hasrat tersebut pernah disuarakan oleh arwah ibunya ketika beliau dan kembarnya melanjutkan pengajian diploma di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Semasa belajar diploma di UPNM, saya pernah membawa mama melalui UKM kerana ketika itu saya menjadi imam solat tarawih di Bangi.

“Kemudian, mama sebut kalau ada rezeki, sambunglah belajar di sini. Waktu itu, tidak terdetik pun untuk sambung belajar di UKM, tetapi mungkin doa seorang ibu yang membawa kami ke sini.

“Kami berada di sini bukan kerana kepandaian kami, tetapi kerana doa ibu, ayah dan guru-guru yang membawa kami ke sini,” katanya.

Menurutnya, beliau dan kembarnya mula mengikuti pendidikan di sekolah tahfiz pada usia 11 tahun sehingga berumur 21 tahun sebelum mengambil masa 10 bulan untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat diploma di UPNM sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UKM.

Sementara itu, Nik Ahmad Ruzaini berkata UKM merupakan universiti impiannya dan beliau bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada warga universiti itu.

“Terima kasih kepada ayah dan arwah mama yang tidak pernah berhenti berdoa dan mendorong kami sehingga ke tahap ini.

“Kalau mengikut kisah kami, kami merupakan pelajar tahfiz yang sering dikatakan tiada latar belakang akademik. Jadi, di sini kami mahu buktikan bahawa penghafal al-Quran juga mampu berjaya sehingga ke menara gading.

“Ramai ustaz telah membuktikan bahawa mereka mampu melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD (Doktor Falsafah), dan kisah hidup mereka juga bermula di sekolah tahfiz.

“Jadi, jangan berputus asa dan jangan rasa kita berbeza daripada orang lain. Apabila kita berpegang kepada apa yang Pencipta (Allah) kehendaki, insya-Allah Pencipta akan memberikan apa yang terbaik untuk kita,” katanya.

Kedua-dua beradik itu turut menitipkan nasihat kepada pelajar aliran agama, khususnya pelajar tahfiz yang merasakan perjalanan mereka untuk memasuki universiti sedikit lewat berbanding pelajar lain kerana perlu melalui proses menghafaz al-Quran yang lama.

Menurut mereka, pelajar tahfiz tidak seharusnya berasa rendah diri atau berputus asa kerana setiap individu mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan telah diatur oleh Allah SWT.

“Jangan mudah berputus asa dan kita perlu berusaha lebih. Walaupun umur kita mungkin lebih senior berbanding pelajar lain, ingatlah bahawa menuntut ilmu itu bermula sejak kita lahir sehingga kita meninggal dunia,” kata Nik Muhammad Rukaini.

Pasangan kembar ini bakal mengikuti pengajian dalam Program Al-Quran dan Al-Sunnah di Fakulti Pengajian Islam.

Leave a Reply