KUALA LUMPUR, 24 September 2026 – Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan MACB–CODTIS Basic Statistics in Clinical Laboratory Workshop 2026 yang diadakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran statistik asas dalam kalangan profesional makmal klinikal, khususnya dalam menganalisis dan menginterpretasi data makmal secara sistematik dan berasaskan bukti.
Pengerusi CODTIS FSK, Prof. Madya Dr. Izatus Shima Taib berkata bengkel tersebut merupakan penganjuran kohort kedua susulan sambutan amat menggalakkan yang diterima pada tahun lepas.
“Inisiatif ini diteruskan selepas kami menerima maklum balas yang sangat positif serta permintaan khusus daripada profesional makmal sains perubatan yang amat memerlukan kemahiran statistik bagi menyokong amalan dan tugasan harian mereka,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ahli Biokimia Klinikal Malaysia (MACB), Raja Dr. Elina Raja Aziddin yang juga Profesor Adjung FSK menyifatkan modul program tersebut sangat relevan dengan tuntutan tugas semasa pengamal makmal perubatan.
“Kemahiran statistik ini amat penting kerana pelbagai aspek penilaian prestasi analitikal memerlukan analisis dan interpretasi data yang tepat, khususnya yang membabitkan verifikasi kaedah dan kawalan kualiti makmal,” jelas beliau.
Mengekalkan kecemerlangan tahun lalu, penganjuran edisi kali ini terus menampilkan gabungan tenaga pengajar daripada latar belakang akademik dan pakar industri.
Menurut pengerusi program merangkap Pensyarah Kanan Program Sains Bioperubatan dan penyelidik CODTIS FSK, Dr. Nurulamin Abu Bakar, bengkel itu telah menggabungkan Pakar Biostatistik FSK, Prof. Madya Dr. Ismarulyusda Ishak bersama Ketua Profesion Pegawai Sains (Kimia Hayat) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Rozita Abdullah yang juga merupakan pakar dalam pengurusan kualiti makmal perubatan.
“Gabungan kepakaran ini membolehkan peserta bukan sahaja memahami konsep teori secara mendalam, tetapi juga dapat melihat secara jelas bagaimana statistik diaplikasikan dalam situasi sebenar di makmal perubatan, khususnya dalam penilaian prestasi analitikal,” katanya.
Tambah beliau, pihak CODTIS dan MACB sedang merancang untuk menganjurkan bengkel Advanced Statistics pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan peserta yang berhasrat untuk menguasai analisis data pada tahap yang lebih tinggi.
Bengkel yang mendapat kerjasama MACB telah menghimpunkan 17 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Sains Makmal Perubatan (MLS), pakar perubatan patologi, Juruteknologi Makmal Perubatan (MLT), pensyarah serta pelajar pascasiswazah.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada pemahaman dan aplikasi statistik deskriptif dan inferensi, yang merangkumi analisis taburan data, ujian-t, ANOVA, korelasi dan regresi.
Selain itu, peserta turut menjalani latihan amali (hands-on) menggunakan perisian SPSS yang memfokuskan kepada data sebenar makmal klinikal, termasuk data berkaitan verifikasi kaedah pengujian.

