Oleh Dr Ahmad Razi Othman
PEKAN, 24 September 2026 – Usaha memulihkan ekosistem terjejas di sekitar Tasik Chini terus diperkasa menerusi program penanaman semula 1,000 pokok hutan pelbagai spesies yang mengaplikasikan teknologi rawatan tanah serta penggunaan biochar.
Program penanaman semula pokok diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia menerusi peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) Negeri Pahang. Inisiatif strategik ini menggabungkan kepakaran penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) UKM, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, serta keterlibatan aktif komuniti Orang Asli tempatan.
Fokus utama projek ini adalah mempraktikkan amalan terbaik penanaman semula hutan menerusi teknologi rawatan tanah khusus bagi menyokong pertumbuhan pokok di kawasan yang terkesan akibat aktiviti manusia.
Selain memulihkan litupan hijau, aplikasi biochar dalam projek ini turut berfungsi sebagai elemen pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) selaras dengan aspirasi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Pendekatan berasaskan sains dan teknologi ini menerima maklum balas positif daripada komuniti tempatan kerana berjaya meningkatkan kadar kelangsungan hidup anak pokok berbanding kaedah konvensional.
Wakil Orang Asli Tasik Chini, Hasam, berkata inisiatif tersebut memberikan pendedahan berasaskan teknologi baharu yang sangat berguna kepada penduduk kampung.
“Projek ini memberikan satu pengetahuan yang baru kepada kami sebagai komuniti Orang Asli.
“Sebelum ini kami hanya menggunakan konsep tradisional dalam program penanaman semula hutan, di mana kadar kematian pokok agak tinggi selepas proses penanaman semula.
“Namun, dengan teknik ini, kita dapat melihat perbezaan dengan jumlah pokok yang mati menurun.” katanya.
Menerusi sinergi antara agensi kerajaan, institusi akademik dan masyarakat pribumi, program penanaman semula ini dijangka mampu menjadi model rujukan dalam memulihkan kawasan hutan terdegradasi di seluruh negara secara mampan.

