KIZ Banguankan KIZ-DRE, Ekosistem Digital Bagi Menyokong Pengalaman Pelajar Antarabangsa

Oleh Ts. Dr. Nurhidayah Bahar dan Dr. Mohamad Zuber Abd Majid

Bagi pelajar antarabangsa, hari pertama di universiti bukan sekadar hari pendaftaran. Ia merupakan permulaan kepada kehidupan dalam persekitaran, budaya dan sistem yang mungkin sama sekali berbeza daripada negara asal. Dalam tempoh tersebut, perkara yang kelihatan kecil seperti mengetahui lokasi kemudahan, memahami peraturan kolej atau mendapatkan maklumat yang tepat boleh menjadi sebahagian daripada proses penyesuaian yang besar.

Kemasukan pelajar baharu ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2026/2027 menandakan bermulanya satu perjalanan baharu dalam kehidupan mahasiswa. Bagi membantu mereka mengenali universiti, memahami kehidupan kampus dan membina hubungan dengan komuniti UKM, Minggu TEKAD Siswa menyediakan pelbagai pengisian sebagai antara platform awal persediaan mahasiswa menghadapi kehidupan baharu sebagai warga universiti.

Di Kolej Ibu Zain (KIZ), keperluan komuniti pelajar antarabangsa turut diberikan perhatian khusus. Sebagai sebuah kolej kediaman yang menempatkan pelajar dari pelbagai negara, KIZ bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, malah berperanan membantu residen menyesuaikan diri dengan kehidupan di UKM.

Pada hari pendaftaran, hampir 80 pelajar antarabangsa baharu mendaftar masuk ke KIZ. Bagi kebanyakan mereka, ketibaan di UKM turut bermakna memulakan kehidupan di sebuah negara dan persekitaran yang baharu, jauh daripada keluarga serta sistem sokongan yang biasa mereka miliki. Proses penyesuaian ini melibatkan pelbagai perkara, daripada memahami sistem universiti dan perkhidmatan kolej kepada mengenali lokasi, kemudahan, peraturan serta budaya kehidupan kampus. Perbezaan bahasa dan budaya menjadikan proses onboarding yang jelas dan mudah dicapai semakin penting.

Menyedari keperluan tersebut, KIZ memperkenalkan Transformasi Digital Ekosistem Perkhidmatan Kolej: Ke Arah Pengalaman Residen Bersepadu, Pintar dan Berpusatkan Pelajar menerusi KIZ Digital Residential Experience (KIZ-DRE).

KIZ-DRE merupakan satu ekosistem digital yang dibangunkan untuk menyokong perjalanan residen secara menyeluruh, bermula daripada proses orientasi dan onboarding, penyesuaian kepada kehidupan di kolej sehinggalah pengurusan keperluan harian sepanjang menjadi warga KIZ.

Tiga inisiatif utama diperkenalkan menerusi KIZ-DRE iaitu kit orientasi TEKAD Siswa digital sebagai panduan awal, Life at KIZ yang menghimpunkan maklumat penting berkaitan kehidupan di kolej kediaman, serta MyKIZ sebagai aplikasi sehenti dan bersepadu untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan kolej.

MyKIZ turut dilengkapi dengan teknologi pintar termasuk chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pelajar mendapatkan maklumat, selain teknologi Augmented Reality (AR) yang membantu mereka mengenali lokasi dan menavigasi persekitaran kolej serta kampus dengan lebih mudah.

Ketiga-tiga inisiatif ini saling melengkapi dalam menyediakan pengalaman kediaman yang lebih tersusun dan mudah dicapai. Pendekatan ini amat relevan khususnya kepada pelajar antarabangsa yang mungkin masih belum biasa dengan susun atur kampus dan sistem perkhidmatan universiti. Maklumat yang sebelum ini perlu diperoleh daripada pelbagai sumber kini dapat disediakan secara lebih tersusun, sekali gus membantu mengurangkan kekeliruan pada peringkat awal kehidupan mereka di kampus.

Transformasi digital tersebut bukan sekadar usaha mendigitalkan proses kerja, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha kolej untuk lebih cakna terhadap pengalaman dan keperluan residen.

Bagi pelajar antarabangsa, KIZ bukan sekadar tempat mereka mendapat sebuah bilik, sebaliknya, inilah tempat pertama yang mereka panggil rumah selepas meninggalkan keluarga dan negara asal. Tanggungjawab UKM bukan sekadar menyediakan penginapan, tetapi membantu mereka memulakan kehidupan di UKM dengan lebih mudah dan rasa dialu-alukan.

Inisiatif ini mencerminkan pendekatan KIZ yang melihat kolej kediaman bukan sekadar sebagai tempat penginapan, tetapi sebagai sebuah ekosistem kehidupan mahasiswa. Pengalaman yang baik sejak hari pertama diharapkan dapat membantu pelajar membina keyakinan, rasa kebersamaan serta hubungan yang lebih positif dengan komuniti kampus. Melalui KIZ-DRE, KIZ terus komited membangunkan pengalaman residen yang bersepadu, pintar dan berpusatkan pelajar, selari dengan perkembangan teknologi serta perubahan keperluan generasi mahasiswa masa kini.

Leave a Reply