UKM Tingkatkan Minat STEM Pelajar Sekolah Melalui Program Tuisyen STEM

Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan dan Siti Nur Diyana Mahmud

KUALA KEDAH, 8 Oktober 2026 – Seramai 86 orang murid tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Kedah menyertai Program Tuisyen STEM: Future Digital Leaders – STEM & AI Acceleration Programme yang diadakan dis ekolah tersebut, baru-baru ini.

Program ini bertujuan memperluas akses serta membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya teknologi Kecerdasan Buatan (AI) termasuk elemen biomimikri dan robotik, dalam kalangan generasi muda sebagai persediaan menghadapi landskap pendidikan, pekerjaan dan kehidupan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi dan digitalisasi.

Dekan Fakulti Pendidikan Universaiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merangkap Ketua Bidang Tujahan Literasi Kelestarian, Kursi Kelestarian UKM-YSD, Prof. Dr. Kamisah Osman berkata perkembangan STEM dan AI perlu dilihat sebagai peluang yang boleh diterokai oleh semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Menurut beliau, Kuala Kedah yang dekat dengan laut, alam sekitar dan kehidupan masyarakat nelayan bukanlah batas kepada kemajuan teknologi.

“Sebaliknya persekitaran tersebut boleh menjadi sebuah “makmal kehidupan” yang membolehkan para pelajar mengenal pasti cabaran sebenar dan menggunakan ilmu STEM serta AI untuk menghasilkan penyelesaian yang relevan dengan komuniti setempat dan dapat dimanfaatkan untuk membantu orang lain serta menyelesaikan masalah sebenar,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Sepanjang dua hari pelaksanaan, para pelajar dibimbing oleh 11 orang pensyarah Fakulti Pendidikan dan Institut Visual Informatik (IVI) serta fasilitator pascasiswazah UKM.

Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara UKM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan SMK Seri Pantai dengan pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sokongan JPN Kedah melalui penyediaan 40 buah komputer riba turut memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka teknologi STEM dan AI secara lebih dekat serta mengikuti aktiviti pembelajaran secara interaktif.

Program Future Digital Leaders ini membawa aspirasi untuk melahirkan generasi yang berilmu, berinovasi, beretika dan berjiwa lestari serta mampu menggunakan ilmu dan teknologi untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Leave a Reply