Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan dan Prof. Dr. Fathin Faizah Said
KUALA KEDAH, 8 Oktober 2026– Bagi memperkasa ekonomi komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi hijau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan projek Peningkatan Skala Ekonomi Perusahaan Mikro Berasaskan Produk Ekonomi Biru Golongan B40 di Kuala Kedah dengan Menggunakan Teknologi Pengering Kubah/Tunnel Solar UKM.
Untuk projek ini, penggunaan teknologi Pengering Kubah/Tunnel Solar UKM diperkenalkan bagi mengatasi kekangan kaedah pengeringan tradisional ikan kering yang bergantung kepada cuaca serta terdedah di kawasan terbuka.
Inovasi ini membolehkan tempoh pengeringan dipendekkan secara optimum, menjamin tahap kebersihan dan kualiti produk, serta meningkatkan produktiviti pengeluaran.
Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, projek ini tidak sekadar menyerahkan perkakasan teknologi semata-mata, malah turut dilengkapi dengan program pemindahan ilmu yang menyeluruh.
Projak di bawah Skim Geran Program Pemindahan Ilmu Malaysia Research University Network (KTP-MRUN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan lima pengusaha perusahaan mikro berasaskan produk ekonomi biru dalam kalangan golongan B40 di Kuala Kedah menerusi aplikasi teknologi hijau, selain membekalkan mereka dengan latihan kemahiran menerusi empat modul utama.
Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah), Pejabat Pentadbiran Daerah dan Tanah Kota Setar, Nurul Zaki Mohd Zainol mengucapkan tahniah kepada lima orang pengusaha mikro yang telah terpilih dan merupakan perintis kepada pemodenan industri ekonomi biru di Kampung Seberang Kota tersebut.
“Manfaatkanlah ilmu pengurusan kewangan, pembungkusan dan pengeringan moden ini sebaiknya untuk meningkatkan skala perniagaan dan pendapatan keluarga,” katanya.
Usaha pemindahan ilmu dan teknologi hijau ini diharapkan dapat menjadi model rujukan dalam merapatkan jurang antara penyelidikan universiti dan keperluan masyarakat, terutamanya dalam memperkasakan agenda ekonomi biru negara.
Pelaksanaan projek ini merupakan hasil jaringan kerjasama strategik yang melibatkan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI-UKM), Kursi Kelestarian UKM-YSD, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cawangan Negeri Kedah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Kedah, Pejabat Daerah Kota Setar, serta kepimpinan komuniti setempat.


