Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 8 Oktober 2026 – Kerjasama yang terjalin antara Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan rakan industri Synergy Ecotech Engineering Sdn Bhd dapat mengukuhkan penyelidikan berasaskan pengurusan sisa cecair kilang kelapa sawit (Palm Oil Mill Effluent – POME).
Melalui kolaborasi ini, FKAB akan mengadakan dua projek penyelidikan bersama iaitu Operational Optimization of Ceramic Membranes in POME Systems: Chemical Cleaning, Mechanical Strategies, and Coating Enhancement dan Life Cycle Assessment (LCA) of Advanced Membrane Process for Palm Oil Mill Effluent Treatment.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Industri, Prof Dr Ismanizan Ismail berkata jumlah keseluruhan dana untuk kedua-dua penyelidikan itu adalah bernilai RM182,000.
“Sumbangan dana ini membuktikan keyakinan pihak industri (Synergy Ecotech Engineering) terhadap keupayaan fasiliti dan kepakaran akademik di UKM.
“Saya yakin para penyelidik dan warga FKAB akan sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk membentuk ekosistem penyelidikan yang lestari bersama Synergy Ecotech Engineering Sdn Bhd,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan Synergy Ecotech Engineering Sdn Bhd, baru-baru ini.
Katanya, beliau mahu melihat hubungan antara UKM dan Synergy Ecotech Engineering terus berkembang kepada penyelidikan baharu, pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta peluang-peluang lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Saya berharap hasil penyelidikan ini dapat diterjemahkan kepada aplikasi sebenar dan seterusnya memberikan sumbangan kepada pembangunan teknologi tempatan serta kelestarian industri,” katanya.
Operational Optimization of Ceramic Membranes in POME Systems: Chemical Cleaning, Mechanical Strategies, and Coating Enhancement adalah projek yang dilaksanakan untuk tempoh 14 bulan yang memberi berfokus kepada pembangunan SOP pembersihan kimia dan mekanikal yang berkesan, serta pemindahan pengetahuan dan kemahiran pengurusan sistem membran kepada pihak industri.
Manakala projek Life Cycle Assessment (LCA) of Advanced Membrane Process for Palm Oil Mill Effluent Treatment pula bertujuan mengukur dan membandingkan impak alam sekitar antara sistem pemprosesan membran lanjutan (SRORS) dengan sistem kolam terbuka (open ponding) melalui pendekatan gate-to-gate, merangkumi lokasi kajian di Johor dan Sarawak.

