Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 13 Oktober – Seramai 49 warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Bitara UKM Ke-11 atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam pelbagai bidang.
Anugerah yang merangkumi 16 kategori itu menilai pencapaian warga universiti sepanjang tahun penilaian 2025.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, berkata Anugerah Bitara yang diperkenalkan pada 2016 ini merupakan budaya kecemerlangan yang perlu terus dipupuk dalam ekosistem universiti.
Beliau berkata pengiktirafan itu penting dalam menghargai komitmen warga universiti yang menyumbang kepada pencapaian institusi serta menjadi inspirasi kepada warga lain untuk terus memberikan hasil kerja terbaik.
“Semangat kecemerlangan ini perlu terus disuburkan dalam setiap warga. Transformasi pendidikan tinggi bermula daripada kesungguhan, keikhlasan dan komitmen kita untuk melakukan yang terbaik demi nama UKM.
“Pada majlis ini juga, UKM turut memperkenalkan kategori Baharu iaitu Anugerah Bitara Kertas Polisi bagi mengiktiraf warga yang menghasilkan kertas dasar berimpak tinggi dan menjadi rujukan dalam pembentukan serta penambahbaikan dasar di peringkat universiti dan negara,” katanya.
Menurut beliau, ilmu yang dihasilkan oleh universiti perlu melangkaui penerbitan akademik dengan turut menyumbang kepada pembentukan dasar, penyelesaian masalah dan kesejahteraan masyarakat.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.
Datuk Ts. Dr. Aminuddin berkata majlis seumpama itu penting untuk menghargai usaha warga universiti dalam memastikan pendidikan tinggi terus relevan, berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“UKM memainkan peranan yang sangat signifikan dalam ekosistem pendidikan negara. Kecemerlangan universiti diukur melalui nilai yang dibina serta kieupayaan melahirkan generasi berintegriti dan berdaya tahan.
“Kecemerlangan yang dicapai hari ini sewajarnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga universiti. Universiti yang hebat dibina oleh kekuatan warganya yang berkongsi aspirasi dan matlamat yang sama.
“Semoga universiti ini kekal menjadi teraju utama dalam merealisasikan aspirasi pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya.

