Projek Ceria Bawa Sinar Harapan Buat Pesakit Kanak-Kanak

Oleh Muhammad Aqil Fahmi Zaid

KUALA LUMPUR – Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Projek Ceria: Secubit Harapan, Sejuta Senyuman di Ronald McDonald House, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Program ini diadakan dengan kerjasama Kelab Alliance of UKM Volunteers for Action, Resilience and Social Impact (AURAS) serta Kelab Srikandi Kebangsaan UKM.

Ketua Pengarah Program, Saudari Damia Qistina Hamizan, berkata Projek Ceria dirancang sebagai sebuah program kesukarelawanan berterusan yang akan terus dikembangkan bagi menyantuni kelompok komuniti yang berbeza.

Menurutnya, penganjuran sebelum ini memberi tumpuan kepada anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala edisi kali ini membawa pendekatan yang sama kepada pesakit kanak-kanak yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan.

“Bagi kami, Projek Ceria bukan sekadar program yang dilaksanakan untuk satu hari, tetapi sebuah inisiatif yang ingin diteruskan dan dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini, kami berpeluang menyantuni anak-anak PPKI dan kali ini, kami membawa semangat yang sama kepada pesakit kanak-kanak. Kami berharap Projek Ceria dapat terus menjadi medium untuk kami mendekati lebih ramai komuniti, berkongsi kegembiraan dan menyampaikan bahawa mereka tidak dilupakan,” katanya.

Bertemakan “Kecil Tapi Bermakna”, program ini memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pesakit kanak-kanak yang sedang menghadapi cabaran kesihatan melalui aktiviti yang menggabungkan elemen kerohanian, kreativiti, pendidikan dan interaksi sosial. Inisiatif ini bukan sekadar bertujuan menceriakan suasana, malah menjadi ruang untuk mahasiswa mendekati komuniti dengan penuh empati dan keprihatinan.

Sepanjang program, para sukarelawan dan kanak-kanak terlibat dalam pelbagai pengisian termasuk bacaan Yasin, aktiviti seni kreatif, Discovery STEM on Wheels, sesi suai kenal serta permainan interaktif. Aktiviti berkenaan dirangka bagi menyediakan pengalaman yang menyeronokkan dan menggalakkan ekspresi diri, di samping memberi peluang kepada kanak-kanak berinteraksi dalam suasana yang lebih santai.

Penasihat Kelab AURAS dan Srikandi Kebangsaan UKM, Dr. Nurwina Akmal Anuar, pula menekankan kepentingan kerjasama antara organisasi mahasiswa dalam memperluas manfaat kesukarelawanan kepada masyarakat.

“Kesukarelawanan bukan hanya tentang jumlah program yang dilaksanakan, tetapi tentang kesediaan kita untuk hadir, memahami keperluan orang lain dan menyumbang mengikut kemampuan.

“Kerjasama antara organisasi mahasiswa seperti ini membuka ruang untuk lebih banyak usaha kemasyarakatan dilaksanakan secara bersama, sekali gus membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut mempunyai kepekaan sosial dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, serta SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, melalui penekanan terhadap kesejahteraan emosi dan penyediaan pengalaman pembelajaran yang interaktif.

Leave a Reply