Kelab AURAS UKM Gerak Sukarelawan Galak Masyarakat Budayakan Kitar Semula

Oleh Amierah Hawa Abdul Rafie
Foto oleh Sukarelawan Program

BANGI, 28 Oktober 2026 – Seramai 31 orang sukarelawan Kelab Alliance of UKM Volunteers for Action, Resilience and Social Impact (AURAS UKM) menyertai Program Pandu Lalu Kitar Semula Barangan Terpakai dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan barangan terpakai secara bertanggungjawab.

Menurut Presiden AURAS UKM, Muhammad Aqil Fahmi Zaid, amalan kitar semula perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian dan bukannya terhad kepada kempen atau program tertentu sahaja.

“Kitar semula bermula dengan kesedaran dan tindakan setiap individu. Melalui program ini, kami berharap masyarakat akan lebih terdorong untuk menghantar barangan terpakai bagi tujuan kitar semula dan menjadikan amalan ini sebahagian daripada rutin harian.

“Penglibatan 31 sukarelawan AURAS UKM juga merupakan usaha kami untuk menyokong kelestarian alam sekitar melalui tindakan di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat AURAS UKM, Dr. Nurwina Akmal Anuar berkata usaha memelihara alam sekitar perlu bermula dengan perubahan dalam amalan seharian.

“Kitar semula bukan sekadar aktiviti yang dilaksanakan melalui kempen tertentu, tetapi satu amalan yang perlu dipupuk secara berterusan.

“Penglibatan mahasiswa dalam program seperti ini dapat membantu menyebarkan kesedaran tentang pengurusan barangan terpakai secara bertanggungjawab serta menggalakkan masyarakat memainkan peranan dalam menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Dr. Mohd Fadhli Shah Khaidzir yang merupakan Penasihat Bersama berharap agar usaha membudayakan kitar semula itu dapat terus diperluas, sekali gus menggalakkan masyarakat mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab dalam menguruskan barangan terpakai dan memelihara alam sekitar.

Program yang diadakan di Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi diadakan bagi menggalakkan masyarakat mengitar semula barangan terpakai seperti pakaian lama, barangan elektronik dan minyak masak terpakai. Pelaksanaan secara pandu lalu turut memudahkan orang ramai menghantar barangan tersebut untuk dikitar semula.

Program ini turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, yang menekankan kepentingan corak penggunaan yang mampan dan pengurusan sumber secara bertanggungjawab.

Leave a Reply