40 Profesional Kesihatan Terima Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan

Oleh Prof. Madya Dr. Noor Hazfalinda Hamzah dan Dr. Nor Afifi Razaob @ Razab
Foto Nur’ Aishatul Hamzah Nor Din

BANGI, 28 Oktober 2026 – Seramai 40 profesional penjagaan kesihatan dan individu berkaitan perubatan dan medikolegal menerima Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan di Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), baru-baru ini.

Program pensijilan yang berlangsung selama dua bulan itu menggabungkan kelas dalam talian dengan satu sesi advokasi mahkamah secara fizikal, satu format yang direka khas untuk pekerja yang tidak mampu meninggalkan tugas harian demi mengejar ilmu.

Peserta yang mengikuti program ini merangkumi doktor perubatan, jururawat, pengurus hospital, peguam serta individu daripada pelbagai organisasi awam dan swasta yang fungsi kerjanya menyentuh domain medikolegal.

Prof. Madya Dr. Masne Kadar yang mewakili dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) berkata program pensijilan profesional itu lahir daripada kesedaran bahawa jurang pengetahuan medikolegal dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan perlu ditangani secara sistematik.

“Apabila seorang jururawat, pengurus wad, atau pegawai perubatan memahami implikasi medikolegal dalam keputusan yang mereka buat setiap hari, ia bukan sahaja melindungi pesakit, ia juga melindungi profesional itu sendiri dan institusi tempat mereka berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKMShape, Nurziyanti Mohamad Khan berkata program Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan membuktikan bahawa pembelajaran tidak perlu berhenti apabila seseorang itu sudah bekerja.

“Malah, pengalaman kerja yang ada menjadikan ilmu yang dipelajari lebih bermakna dan terus boleh diaplikasikan,” katanya.

Program Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan itu terbuka kepada semua profesional penjagaan kesihatan, daripada pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan, hingga kepada pengurus dan pentadbir hospital, serta peguam dan pegawai undang-undang yang terlibat dalam kes-kes berkaitan penjagaan kesihatan, sama ada sektor swasta atau awam, di dalam atau luar negara.

FSK UKM berhasrat untuk terus menawarkan program ini bagi memenuhi permintaan yang dijangka terus meningkat selaras dengan perkembangan sistem penjagaan kesihatan negara dan keperluan terhadap profesional yang celik medikolegal.

Leave a Reply