Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 27 November 2026 – Komitmen tinggi terhadap budaya ilmu dan disiplin diri membolehkan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tepat pada masanya (Graduate on Time), meskipun memikul tanggungjawab berat menerajui perkhidmatan awam negara.
Beliau yang baru sahaja memasuki hari kedua persaraan ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan mendedikasikan pencapaian itu kepada keluarga yang sentiasa memahami kekangan masanya sepanjang tempoh pengajian.
Menurutnya, kejayaan menamatkan pengajian di peringkat tertinggi itu diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga perkhidmatan awam serta para pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Apa yang saya ingin tunjukkan kepada penjawat awam adalah pembelajaran sepanjang hayat itu dapat kita laksanakan jika kita ada disiplin dan kemahuan yang tinggi untuk menggapainya.
“Alhamdulillah, saya juga berjaya graduate on time. Ini membuktikan kepada pemegang biasiswa JPA bahawa perkara ini boleh dilaksanakan dengan usaha yang berterusan bagi memastikan pengajian tamat tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai penyelidikan tesisnya, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan menjelaskan bahawa kajian tersebut menelusuri aspek reformasi dalam perkhidmatan awam berdasarkan pengalamannya berkhidmat selama lebih 31 tahun.
“Walaupun negara sudah memiliki dasar, instrumen dan struktur penyampaian yang berada pada tahap terbaik, tetapi masih terdapat satu elemen penting yang perlu dipertingkatkan dalam diri setiap penjawat awam iaitu aspek penghayatan nilai.
“Elemen nilai inilah yang saya terjemahkan melalui gagasan H.E.M.A.T. dalam perkhidmatan awam.
“Tanpa nilai dalam diri penjawat awam yang menggerakkan setiap perkhidmatan yang diberikan, kita tidak akan dapat mencapai tahap penyampaian yang terbaik kepada rakyat.
“Inilah legasi dan pesanan yang saya tinggalkan kepada warga perkhidmatan awam setelah menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,” ujarnya.

