Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 27 November 2026 – Kesibukan tugas hakiki sebagai penjawat awam bukan penghalang buat Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Ahmad Rizal Adnan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau yang menamatkan pengajian secara separuh masa menyifatkan pengurusan masa yang cekap serta motivasi diri yang tinggi sebagai kunci utama kejayaannya mengharungi cabaran pengajian.
Menurut Dr. Ahmad Rizal memandangkan komitmen kerja di siang hari, beliau hanya memanfaatkan waktu malam serta hujung minggu bagi menumpukan perhatian terhadap penulisan tesis, sorotan literatur (literature review) dan analisis data kajian.
“Dalam masa senggang yang ada itu, banyak perkara yang perlu dikorbankan.
“Jika dalam keadaan biasa kita boleh membawa keluarga keluar beriadah pada hujung minggu, tetapi demi pengajian, saya terpaksa meluangkan masa tersebut untuk menyendiri di kafe bagi mencari ruang menulis,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM, di sini.
Mengulas mengenai penyelidikannya, Dr. Ahmad Rizal berkata kajian beliau memfokuskan kepada budaya maklumat dalam organisasi perkhidmatan awam dengan mengaplikasikan teori Resource-Based View.
Jelasnya, kajian tersebut meneliti bagaimana budaya maklumat mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan menjadikan maklumat sebagai asas pembuktian kepada setiap transaksi perkhidmatan, berbanding kajian terdahulu yang lebih tertumpu kepada aspek perkongsian maklumat semata-mata.
Beliau turut menyeru golongan penjawat awam agar tidak menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak menyambung pengajian, sebaliknya menjadikan tokoh-tokoh perkhidmatan awam negara seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang turut berjaya menamatkan pengajian masing-masing sebagai sumber inspirasi.
“Jika hendak diikutkan, kerja memang tidak akan pernah habis. Kita sendiri yang perlu bijak mencari ruang dan masa.
“Peluang menyambung pengajian ini perlu direbut oleh semua, namun apa yang paling penting adalah motivasi diri yang berterusan,” ujarnya.
