PTSL Perkukuh Pemuliharaan Manuskrip Melayu Menerusi Pendigitalan dan Kecerdasan Buatan

Oleh Dr. Mazni Md. Yusof
Foto Zulhelmy Abdul Rahim

BANGI, 27 November 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) terus menerajui usaha pemuliharaan warisan intelektual bangsa menerusi penganjuran Wacana Khazanah Manuskrip: Menelusuri Kearifan Tun Seri Lanang dalam Era Pendigitalan dan Kecerdasan Buatan di Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji, Perpustakaan Tun Seri Lanang.

Penganjuran ini bertujuan merungkai potensi teknologi pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) dalam memastikan khazanah manuskrip Melayu klasik terus dipelihara, diterjemahkan serta kekal relevan kepada generasi digital masa hadapan.

Ketua Pustakawan UKM, Hazmir Zainal berkata integrasi teknologi Pengecaman Aksara Optik (OCR) khusus untuk tulisan Jawi dan transliterasi automatik berasaskan AI kini merupakan satu keperluan dasar bagi mendemokrasikan khazanah klasik ke dalam bentuk repositori pintar.

“Khazanah manuskrip berharga ini sedang berhadapan dengan ancaman kerapuhan fizikal akibat hakisan masa serta kepupusan pengkaji yang mampu menafsir kaligrafinya.

“Justeru, komitmen ini menuntut sinergi silang disiplin antara sarjana sastera lama dengan pakar teknologi maklumat bagi melatih model AI tempatan (Sovereign AI) memahami nuansa teks klasik, sekali gus memelihara kedaulatan data dan sejarah budaya negara,” katanya.

Sesi wacana yang dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Zubir Idris itu menampilkan dua ahli panel iaitu Pensyarah Kanan Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd ‘Azmi Mohd Razif dan Ketua Jabatan Kecerdasan Buatan Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Shahreeza Safiruz Kassim.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Dr. Mohd ‘Azmi mengetengahkan inovasi pembangunan aplikasi Manuscripta Islamica bagi membantu terjemahan dan kajian manuskrip berasaskan AI.

Sementara itu, Dr. Muhammad Shahreeza pula menjelaskan keperluan membangunkan model AI tempatan memandangkan sistem AI global sedia ada masih mempunyai kekangan dalam menterjemah tulisan Jawi klasik secara tepat.

Program wacana ilmiah anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dirasmikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang juga Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Fauzilahyatun Mustafa serta Ketua Bahagian Pusat Dokumentasi Melayu DBP, Salim Md Zin.

Leave a Reply