Pensyarah Pergigian UKM Raih Pengiktirafan Antarabangsa di Tokyo

Oleh Zainal Asnawi Asyraf

TOKYO, 27 November 2026 – Pensyarah Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Amirul Faiz Luai memenangi Outstanding Presentation in Poster Presentation Award dalam International Oral Health Symposium 2026 yang berlangsung baru-baru di GC Company R&D Centre, Tokyo, Jepun.

Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi pembentangan poster penyelidikan bertajuk Dentalox Universe: Development, Validation, and Evaluation of Immersive AI-Supported Proto-Metaverse Oral Health Education yang mengetengahkan pembangunan, pengesahan dan penilaian pendekatan pendidikan kesihatan pergigian berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta persekitaran proto-metaverse imersif.

Penyelidikan yang dijalankan itu penerokaan pendekatan pendidikan kesihatan pergigian yang menggabungkan teknologi digital dan pengalaman pembelajaran imersif, sekali gus mencerminkan potensi penggunaan inovasi teknologi dalam memperkasa penyampaian maklumat dan pendidikan kesihatan oral.

Mengulas kejayaan tersebut, Pensyarah Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga, Fakulti Pergigian itu menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai satu penghormatan dan penghargaan terhadap usaha penyelidikan, khususnya dalam meneroka pendekatan inovatif bagi memperluas penggunaan teknologi digital dalam pendidikan kesihatan pergigian.

“Peluang menyertai platform akademik antarabangsa ini amat bermakna kerana memberi ruang untuk berkongsi hasil penyelidikan dan bertukar pandangan dengan komuniti penyelidik antarabangsa.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada UKM, khususnya Fakulti Pergigian, atas sokongan berterusan dalam menggalakkan penglibatan kakitangan di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh budaya penyelidikan dan jaringan kerjasama akademik,” kata Dr. Amirul.

International Oral Health Symposium 2026 menghimpunkan pakar kesihatan mulut dari institusi pengajian tinggi terkemuka dari seluruh dunia bagi membincangkan inovasi, penyelidikan translasi serta hala tuju strategik yang membentuk masa depan bidang kesihatan oral.

Simposium itu turut menampilkan penglibatan institusi antarabangsa, antaranya Tohoku University, National Dental Centre Singapore, Nanyang Technological University, Karolinska Institute, The University of Hong Kong, The University of Melbourne dan The University of Sydney.

Platform ini menyediakan ruang perkongsian hasil penyelidikan, pertukaran kepakaran serta perbincangan mengenai perkembangan dan inovasi terkini dalam bidang kesihatan oral.

Leave a Reply