BANGI, 8 Julai 2026 – Kecerdasan Buatan (AI) memainkan peranan penting dalam peralihan hijau (green transition) bagi mencapai kelestarian ekonomi, meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan mewujudkan sistem ekonomi yang lebih mampan.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata penerapan AI dalam sektor hijau bukan sahaja mampu mentransformasikan industri, malah membuka peluang kerjaya untuk generasi akan datang.
“AI kini sedang membentuk transformasi industri, mempengaruhi proses membuat keputusan, mengubah operasi perniagaan dan membuka ruang yang lebih luas untuk memperkasa potensi manusia dan menyokong pembangunan mampan.
“Kita juga sedang berada dalam era transformasi yang penuh dengan cabaran geopolitik dan geoekonomi dan salah satunya adalah teknologi,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Seminar APEC AI-GREEN: Best Practices for Artificial Intelligence-Powered Green Skills Training, di sini.
Tambah beliau, melalui penyelidikan, pengajaran, penglibatan dasar dan kerjasama antarabangsa seperti seminar ini, universiti boleh membantu membentuk penyelesaian kepada cabaran yang merentasi sempadan institusi dan negara.
Seminar yang diadakan selama dua hari itu bakal menghasilkan penggubalan dua dokumen rujukan penting, iaitu Best Practices Compendium serta Guideline on AI-Powered Green Skills Training.
Kedua-dua dokumen ini bakal dijadikan rujukan bagi rangkaian ekonomi APEC dalam memperkasa serta menyeragamkan strategi pembangunan modal insan serantau.
Penganjuran seminar ini dapat memperkukuh reputasi UKM sebagai peneraju institusi yang komited dalam menjalinkan rakan strategik antarabangsa, demi memastikan pembangunan modal insan yang mampan di rantau Asia-Pasifik terus berkembang selari dengan kemajuan teknologi.
Seminar yang menghimpunkan 78 peserta yang terdiri daripada pakar industri, penyelidik dan penggubal dasar dari Asia-Pasifik termasuk Chile, China, Chinese Taipei, Indonesia, Jepun, Malaysia, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura dan Thailand adalah hasil kolaborasi strategik antara Fakulti Pendidikan UKM bersama Human Resources Development Working Group (HRDWG) APEC.

