Alumni UKM Bantu Gelandangan di Kuala Lumpur

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2024 – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia turun padang menyantuni dan memberi bantuan makanan serta keperluan harian kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Program yang dijalankan di bawah Flagship Alumni Care iaitu Alumni Care 11: Santun dan Sumbang Sahur Gelandangan telah menghimpunkan kira-kira 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni dan warga UKM serta komuniti setempat, memberi sumbangan kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan sekitar kawasan Chow Kit Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengurus Program, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Aktiviti & Jaringan) Pusat Perhubungan Alumni berkata program yang dirancang dalam tempoh tiga minggu itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari alumni, warga UKM dan orang perseorangan yang telah bermurah hati menyumbang kepada program ini.

“Program ini kami rancang dan uruskan kurang dari tiga minggu sebab ada permintaan daripada alumni yang nak bekerjasama. Kemudian kami terus mulakan gerak kerja dengan mengumpul sumbangan dalam tempoh yang singkat,” kata beliau.

Katanya, beliau bersyukur kerana program itu mendapat sambutan yang sangat baik dari semua pihak.

“Kita mendapat kerjasama daripada syarikat alumni iaitu Lightgreen Enterprise dan Yayasan Al Manjie.

“Bukan itu sahaja, pihak kami juga menerima sumbangan 40 kotak tuala wanita daripada Syarikat Kao Malaysia serta sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada alumni dan warga UKM. Semua sumbangan ini hampir mencecah RM16,000,” katanya.

Tambah beliau, sumbangan bakul makanan yang disediakan terdiri daripada makanan kering sebanyak 70 kotak yang telah disumbangkan kepada 70 penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur manakala 150 pek makanan sahur serta pek makanan kering dan barangan berkeperluan seperti lampin pakai buang bayi, susu tepung bayi, ubat dan berus gigi diberikan kepada 150 gelandangan di sekitar kawasan Chow Kit Kuala Lumpursecara bersasar.

“Alhamdulillah, untuk program yang pertama kali diadakan ini, kami dapat menyantuni seramai 220 orang gelandangan.

“Kami sangat berbesar hati dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberi sumbangan diluar jangkaan kami,” ujar beliau.

Program yang berakhir sekitar jam 1.00 pagi ini turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Dr. Roslan Ja’afar dan dan Timbalan Pengarah (Penjanaan dan Pemasaran), Dr Muhammad Sofwan Mahmud.

Leave a Reply