Alumni UKM Sumbang Hampir RM200,000 untuk Pembangunan Universiti

BANGI, 23 Jun 2026 – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan berjumlah RM198,886.13 daripada para alumninya melalui program Alumni Balik Kampus yang diadakan bersempena Hari Alumni UKM, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM148,000 akan disalurkan kepada kolej-kolej kediaman dan Pusat Tanggungjawab (PTj) bagi menyokong inisiatif tajaan 27 bilik pelajar dan juga tajaan dua penapis air.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, program Alumni Balik Kampus 2026 merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyahut agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui inisiatif “Alumni Back to Campus”, yang menekankan peranan alumni sebagai aset strategik dan rakan pembangunan universiti.

“Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara alumni dan alma mater, malah membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman industri serta sumbangan yang memberi manfaat kepada mahasiswa, universiti dan masyarakat,” katanya.

Beliau juga menyeru agar lebih ramai alumni menyertai program-program anjuran universiti demi kelangsungan kecemerlangan UKM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program Alumni Balik Kampus yang berlangsung pada 18 hingga 21 Jun 2026 diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara alumni dan universiti serta menjadi platform strategik untuk menyemai semangat kebersamaan, menyumbang idea dan merangsang inisiatif filantropi dalam kalangan alumni.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, program ini bukan sekadar perhimpunan tahunan bekas pelajar, malah merupakan platform strategik yang memperkukuh hubungan antara alumni, universiti dan mahasiswa.

“Alumni merupakan aset penting universiti yang mampu menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk perkongsian kepakaran, pembangunan kerjaya mahasiswa, jaringan industri serta sokongan filantropi bagi memperkasa agenda pendidikan tinggi negara,” katanya yang juga merupakan Penasihat Program Alumni Balik Kampus.

Sepanjang program ini, pelbagai pengisian menarik telah diadakan termasuk Majlis Bacaan Yasin dan Forum Perdana Alumni, Konsert Gala Alumni:Melodi Sepanjang Zaman, Pertandingan Sukan Alumni antara Kolej serta Majlis Hi-TeaAlumni yang berjaya menghimpunkan hampir 500 alumni daripada pelbagai latar belakang dan generasi.

Majlis Hi-Tea adalah acara kemuncak program yang menjadi salah satu penghargaan kepada para alumni atas sumbangan dan sokongan berterusan mereka kepada universiti.

Majlis ini memberi peluang kepada alumni untuk mengimbau kembali kenangan serta pengalaman sepanjang bergelar mahasiswa di kampus suatu ketika dahulu.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dato’ Seri Alimuddin Mohd Dom, yang juga merupakan alumni UKM bagi kohort tahun 1976.

Melalui program ini juga, UKM turut melancarkan Alumni360, iaitu sebuah platform pembelajaran sepanjang hayat yang menawarkan peluang kepada alumni untuk terus mengembangkan pengetahuan, kemahiran profesional dan jaringan strategik sepanjang fasa kehidupan mereka.

Leave a Reply