Anugerah Kencana Fakulti Peubatan Iktiraf Hasil Kerja Warga Fakulti

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 2 Ogos 2022 – Anugerah Kencana Fakulti Perubatan yang diadakan baru-baru ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Fakulti Perubatan yang telah bertungkus lumus dalam menjadikan Fakulti Perubatan sebagai hub perubatan terkemuka di negara ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata seiring dengan usia fakulti yang telah mencecah 50 tahun pada tahun ini, pencapaian warga fakulti telah terbukti bukan sahaja di peringkat kebangsaan malahan menjangkau ke arena antarabangsa.

“Ahli fakulti telah dilantik ke pelbagai jawatan oleh Majlis Perubatan Malaysia dan Akademi Perubatan Malaysia berdasarkan kepakaran di dalam bidang masing-masing.

“Kepakaran warga fakulti juga telah diikiraf dengan penglibatan dalam penghasilan Garis Panduan Imunisasi Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahli Panel Penasihat Vaksinasi Untuk Covid 19 dalam Kalangan Remaja di Malaysia dan sebagai Ketua Jawatankuasa, Pengwujudan ‘Position Statement” Berkaitan Vaksinasi untuk Covid-19 di Kalangan Kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, ujar beliau,  warga fakulti terlibat sebagai Jawatankuasa bagi Human Genome Organisation (HUGO) Education Committee, Member of the Peer Review Group for Stroke (WHO Rehabilitation Stroke Programme), dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakultas Kedokteran Universitas Airlangga, profesor pelawat, Universitas Diponegoro, Indonesia dan sebagainya.

“Semua pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh warga Fakulti Perubatan telah berjaya melonjakkan nama fakulti ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Tahniah saya ucapkan dan semoga anugerah ini bukan sahaja dilihat sebagai satu pengiktirafan, tetapi, sebagai penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan, di sini.

Beliau berharap agar pengiktirafan dan penghargaan itu dapat melonjakkan motivasi penerima anugerah untuk menjadi warga yang bersahsiah, berkualiti, dan seterusnya menjadi role model serta mentor terbaik kepada warga fakulti yang lain.

“Melihat kepada senarai anugerah yang melibatkan kecemerlangan pengembangan akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar, pemerkasaan jaringan antarabangsa serta khidmat komuniti, persekitaran kerja yang selamat dan lain-lain,  saya amat berbangga dan sukacita kerana ini membuktikan fakulti berjaya memupuk budaya kerja yang mendukung erat Lembayung T.E.R.A.S dan Bitara Universiti yang menjadi nadi dan nafas untuk kita semua melangkah lebih jauh lagi ke hadapan,” katanya.

Katanya, kejayaan warga tidak akan dapat dicapai tanpa usaha, komitmen yang tinggi serta sokongan yang padu dalam kalangan pentadbir. 

“Pemimpin dan pengurusan boleh bertukar ganti, boleh datang dan pergi, namun organisasi mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang menerajui dan memacunya,” ujarnya. Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

Leave a Reply