Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 5 Mei 2025 – Aplikasi Islamic Creative Media (ICM) yang dicipta oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rosmawati Mohamad Rasit, dibangunkan sebagai platform khas untuk pencipta kandungan (content creators) menyalurkan kreativiti melalui karya yang menepati prinsip syariah, beretika dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Prof. Madya Dr Rosmawati berkata aplikasi itu yang didanai oleh Dana INOVASI UKM, yang dibangunkan dengan kerjasama erat Al-Hidayah Production Sdn Bhd membuktikan komitmen universiti dalam memacu penyelidikan dan pembangunan kandungan yang berkualiti, mendidik serta selari dengan nilai-nilai Islam.
“Aplikasi ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencipta dan menyebarkan karya dakwah, pendidikan dan hiburan yang beretika, malah bertujuan membentuk sebuah ekosistem kandungan digital yang bertanggungjawab, berprinsip dan berimpak tinggi.
“Ia juga merupakan satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan penggunaan teknologi digital sebagai medium penyampaian nilai-nilai murni sejajar dengan prinsip syariah,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Khawla Showcase – Pelancaran Aplikasi ICM, di sini.
Katanya, beliau berharap bahawa dengan pelancaran aplikasi tersebut, akan wujud lebih banyak peluang untuk kolaborasi antara dunia akademik dan industri kreatif tempatan, seterusnya memperkasa para pencipta kandungan dalam menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga mendidik dan membina masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FPI, Dr. Fadhlan Mohd Othman, yang mewakili Dekan berkata pelancaran aplikasi ICM itu merupakan satu pencapaian penting hasil gabungan pemikiran akademik, kreativiti digital dan nilai-nilai Islam.
“Kita menyaksikan hari ini bagaimana teknologi dan media digital semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan umat Islam. Namun, dalam arus perkembangan ini, wujud keperluan mendesak untuk membina ekosistem kandungan yang bertanggungjawab, yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik dan membina jiwa.
“Jadi, aplikasi ini adalah manifestasi usaha UKM dalam memperkasa kandungan Islamik yang patuh syariah dan berpaksikan maqasid syariah,” katanya.
Beliau berkata ICM bukan sekadar platform teknologi, tetapi sebuah wahana dakwah dan pendidikan yang mampu menyuntik nilai murni dalam dunia digital yang kompleks.
