ARCSB 2025 dan ICNP2025 Himpun Penyelidik, Penceramah dan Pakar Terkemuka Suluruh Dunia

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Oktober 2025 – Persidangan Asian Regional Conference on Systems Biology (ARCSB 2025) dan International Conference on Natural Products (ICNP2025) telah menghimpunkan ramai pakar, penyelidik dan penceramah jemputan dari seluruh dunia termasuk Japan, China, Korea, Australia, Thailand dan Indonesia.

Bertemakan “Innovative Life Sciences for Sustainable Development Goals,” persidangan ini menjadi platform dinamik dalam menyatukan para penyelidik sains di seluruh Asia untuk berkongsi penemuan, bertukar-tukar idea dan menjalin kerjasama penyelidikan.

Pengarah Pusat IDEA, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan berkata ARCSB dan ICNP 2025 diadakan bagi menggalakkan pertukaran bidang saintifik, selain menjalin kerjasama dalam biologi sistem, biologi sintetik dan produk semula jadi penyelidikan dalam kalangan sarjana dan penyelidik dari Malaysia dan seluruh dunia.

“Selain itu, dengan penyertaan pelbagai pembentangan lisan dan poster yang berkualiti tinggi, persidangan ini menampilkan kepelbagaian, kreativiti, dan kemajuan dalam kalangan komuniti penyelidikan biologi sistem, biologi sintetik, dan produk semula jadi.

“Saya percaya bahawa semua perwakilan akan mendapati persidangan ini bermanfaat dan memberi inspirasi, serta menyediakan peluang yang amat baik untuk berkongsi penemuan baharu, pengetahuan, dan pengalaman dalam bidang biologi sistem dan sintetik,” katanya.

Beliau berharap agar persidangan itu bukan sahaja menjadi platform untuk pertukaran pengetahuan saintifik, tetapi juga sebagai pemangkin kepada kerjasama baharu, inovasi, dan aspirasi yang akan terus membentuk masa depan sains hayat di rantau kita dan di peringkat global.

“Sebagai sebahagian daripada komuniti universiti, kami berasa amat berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan biologi sistem dan produk semula jadi di rantau ini melalui penganjuran persidangan berprestij ini,” katanya.

ARCSB dan ICNP 2025 yang diadakan selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober 2025 adalah anjuran bersama antara Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Malaysia Natural Product Society (MNPS).

Leave a Reply