Bi$$Iswa @ Bazar Ramadan UKM 2023 Buka Peluang Mahasiswa Jana Pendapatan

Oleh Kogileswari Vellisamy dan Nurnabila Huda Subandry
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 April 2023 – Bazar Ramadan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun ini meriah dengan kehadiran peniaga dalam kalangan pelajar universiti dan dari luar dengan menjual pelbagai juadah berbuka puasa bagi menjana pendapatan.

Bi$$iswa di Bazar Ramadan UKM 2023 anjuran bersama UKM-CESMED dan Kelab Syabab Kolej Tun Hussein Onn berlangsung daripada 28 Mac sehingga 11 April 2023 bermula pukul 4 petang sehingga 7 petang berhadapan perkarangan parkir Dewan Canselori Tun Abdul Razak.

Sebanyak 50 buah gerai didirikan oleh peniaga siswa, peniaga luar serta terdapat juga trak makanan disediakan bagi mempelbagaikan pilihan juadah berbuka puasa.

Muhammad Imran Zainal Abidin, 21, pelajar tahun dua, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata peluang ini amat membantu beliau dalam menjana pendapatan bagi menampung dana program kolej yang dikendalikan olehnya.

“Saya pernah menyertai bazar Ramadhan tahun lalu juga sebagai seorang peniaga, tetapi ini kali pertama saya mengendalikan gerai sendiri sebagai ketua program dan dapat menjual juadah seperti nasi hujan panas, onde- onde dan roti jala,” tambahnya.

Pelajar tahun tiga Sains Genetik, Kharesma Sathanandhan, berkata penganjuran bazaar di premis UKM amat membantu untuk mengumpul wang pendahuluan bagi program persatuan serta menimba pengalaman berniaga.

“Kami menjual lasagna, spaghetti dan cookies dan mendapat sokongan yang padu daripada mahasiswa.

“Oleh kerana kami mendapat sambutan yang baik, jadi kami akan teruskan lagi usaha kami pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Rheeima Hari Krishnan mewakili Kelab Perakaunan pula menjual bomboloni, sushi, donut susu untuk menjana pendapatan kepada kelabnya.

Menurut pelajar tersebut, pertama kali beliau melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan perasaanya amat teruja apabila ramai pelanggan mengunjungi gerai mereka untuk membeli produk yang paling laris iaitu donut susu dan bomboloni nutella.

“Walaupun penat ketika menguruskan masa untuk belajar dan juga untuk berniaga, tetapi saya memang suka pengalaman ini,” tambahnya.

Abdul Malek Umar yang merupakan usahawan roti john dari luar berkongsi rasa bersyukur dengan pemasaran yang telah dibuat oleh UKM untuk mempromosikan gerai jualan di bazar.

“Orang ramai sudah banyak memeriahkan bazar ini, dan ia bergantung kepada strategi peniaga sahaja untuk menjual. “Ramai juga pelajar dan warga Bangi yang datang jadi saya tidak perlu risau kerana saya yakin hasil jualan dalam 70 peratus sudah pasti,” katanya.

Leave a Reply