Oleh Dr. Adila A. Hamid dan Dr. Ida Zarina Zaini
Cuaca tropika dan risiko haba
Aktiviti fizikal seperti maraton, berbasikal dan pelbagai jenis sukan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Hampir setiap hujung minggu, pelbagai acara riadah dianjurkan, daripada larian amal, triathlon hingga kayuhan santai menandakan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat. Media sosial turut memainkan peranan besar dalam mempopularkan gaya hidup aktif ini. Namun, di sebalik semangat kecergasan ini, ada satu risiko yang sering dipandang ringan iaitu tekanan haba dan strok haba, yang boleh menjejaskan kesihatan secara serius, terutamanya kepada jantung dan sistem peredaran darah.
Walaupun kini negara sedang mengalami musim hujan, cuaca di Malaysia kekal panas dan lembap hampir sepanjang tahun. Secara purata, suhu harian berada antara 27 hingga 33 darjah Celsius, dan ketika cuaca terik boleh mencecah sehingga 35–37 darjah Celsius. Dalam keadaan sebegini, badan mudah kehilangan keupayaan untuk menyejukkan diri, terutamanya apabila melakukan aktiviti fizikal yang berat atau terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama. Kesannya, risiko kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke) boleh meningkat dengan ketara. Kelesuan haba biasanya bermula dengan simptom seperti denyutan jantung laju, pening, sakit kepala, keletihan melampau, atau muntah. Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan boleh menjadi lebih serius di mana suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celsius, fungsi otak terganggu, pesakit boleh mengalami sawan, koma, dan akhirnya kegagalan organ. Ramai beranggapan tekanan atau strok haba hanya berlaku ketika cuaca terik di bawah matahari. Sebenarnya, tekanan haba boleh menyerang bila-bila masa, walaupun ketika langit mendung.
Bila jantung jadi “enjin penyejuk badan”
Tubuh manusia dilengkapi dengan sistem kawalan suhu yang kompleks, dikenali sebagai termoregulasi. Dalam keadaan biasa, badan menghasilkan haba melalui proses metabolisme, iaitu tenaga yang dijana apabila kita bernafas, bergerak dan beraktiviti. Untuk mengekalkan suhu badan sekitar 37°C, haba yang dihasilkan ini mesti dilepaskan semula. Badan menyingkirkan haba melalui empat cara utama iaitu salur darah di kulit mengembang bagi membebaskan haba (vasodilatasi), kelenjar peluh aktif bagi menyejukkan kulit (penyejatan), pemindahan haba ke permukaan yang disentuh (pengaliran) dan pancaran haba ke persekitaran (sinaran). Dalam semua proses ini, jantung memainkan peranan utama. Ia mengepam lebih banyak darah ke permukaan kulit bagi membantu badan menyingkirkan haba berlebihan. Namun, apabila persekitaran terlalu panas atau lembap, peluh tidak sempat tersejat dan mekanisme ini menjadi tidak efisien. Akibatnya, suhu dalaman badan terus meningkat, jantung terpaksa bekerja lebih keras, dan cecair badan banyak hilang melalui peluh dan pernafasan. Lama-kelamaan, tekanan darah menurun, aliran darah ke organ penting seperti otak dan buah pinggang berkurang, dan peredaran darah boleh runtuh (circulatory collapse).
Apa yang berlaku apabila suhu dalaman badan meningkat ?
Apabila suhu dalaman badan meningkat melebihi 40°C, kadar denyutan jantung boleh meningkat 20 hingga 30 denyutan seminit lebih tinggi daripada biasa. Darah lebih tertumpu ke kulit, menyebabkan organ penting menerima kurang oksigen. Pada peringkat awal, badan mengeluarkan “heat shock proteins” iaitu sejenis protein pelindung yang membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat panas. Namun jika keadaan berlarutan, sistem pertahanan ini tidak lagi mencukupi. Sel-sel mula rosak, usus menjadi lebih telap kepada bahan toksik, dan tindak balas keradangan besar-besaran tercetus di seluruh tubuh. Akibatnya, salur darah mengembang tanpa kawalan, tekanan darah menurun, dan jantung terpaksa bekerja lebih keras walaupun kekurangan tenaga dan cecair. Jika tidak dirawat segera, strok haba boleh membawa maut dalam tempoh singkat.
Individu sihat biasanya mampu menyesuaikan diri dengan haba, tetapi golongan yang lebih mudah terjejas adalah pesakit jantung, darah tinggi atau diabetes, warga emas dan kanak-kanak, pekerja luar seperti petani, penghantar makanan dan pekerja binaan, dan mereka yang tidak minum air mencukupi atau mengambil ubat diuretik (penggalak pembuangan air kencing). Simptom seperti berdebar, pitam, keletihan luar biasa, atau sesaknafas selepas aktiviti di bawah panas mungkin tanda awal tekanan haba. Ini isyarat bahawa jantung sedang bekerja keras untuk menyejukkan badan.
Langkah pencegahan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Penyakit Berkaitan Haba di Klinik Kesihatan serta Jabatan Kecemasan dan Trauma (2016). KKM juga aktif mengingatkan masyarakat tentang tanda-tanda awal strok haba dan langkah pencegahan, terutama ketika perubahan cuaca tidak menentu. Antara langkah mudah yang boleh diamalkan adalah minum air dengan cukup, walaupun tidak terasa dahaga, mengelakkan aktiviti fizikal yang berat pada waktu tengah hari, menggunakan pakaian longgar ketika melakukan aktiviti luar dan memastikan persekitraan kerja mempunyai pengudaraan yang baik.
Tindakan awal boleh selamatkan nyawa
Mengesan tanda awal keletihan haba amat penting untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Langkah pertolongan cemas yang cepat dan tepat boleh menyelamatkan nyawa sebelum bantuan perubatan tiba. Antara tindakan yang boleh diambil adalah :
1. mengalihkan mangsa ke tempat teduh dan sejuk,
2. meletakkan tuala basah atau pek ais di leher, ketiak dan pangkal paha untuk membantu menurunkan suhu badan,
3. melonggarkan pakaian dan pastikan udara dapat mengalir dengan baik,
4. Jika mangsa tidak sedar, baringkan dalam posisi pemulihan (recovery position) dan pastikan masih bernafas,
5. mengelakkan daripada memberikan minuman kepada mangsa yang tidak sedar kerana dibimbangi air masuk ke paru-paru,
6. menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera jika mangsa tidak sedar atau keadaannya semakin teruk.
Langkah mudah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja seperti ahli keluarga, rakan sepasukan, atau orang awam. Dalam kes strok haba, setiap minit amat berharga.
Kesimpulan
Pencegahan tekanan haba tetap relevan dalam konteks iklim tropika Malaysia. Jagalah hidrasi, hadkan aktiviti berat di tempat panas, dan ambil kira keadaan kesihatan jantung anda sebelum melakukan kerja fizikal. Kerana dalam setiap degupan jantung, tersembunyi perjuangan tubuh untuk kekal seimbang antara tenaga, suhu, dan kelangsungan hidup.

Dr. Adila A. Hamid
Pensyarah, Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr. Ida Zarina Zaini
Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
