Oleh Melor Suria Minhat
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 November 2026– Nilai integriti dan tadbir urus yang baik perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan harian warga universiti, bukan sekadar menjadi slogan atau kempen tahunan semata-mata, kata Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh.
Beliau berkata penghayatan integriti itu selari dengan Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026–2030 yang berteraskan nilai Iman, Ilmu dan Amal.
“Bagi UKM, integriti tidak boleh sekadar menjadi slogan atau sesuatu yang kita bicarakan pada waktu tertentu. Ia perlu diterjemahkan dalam cara kita bekerja, membuat keputusan dan melaksanakan tanggungjawab sama ada dalam pengajaran, penyelidikan, pentadbiran mahupun penyampaian perkhidmatan.
“Pemimpin yang berintegriti bukan sekadar memastikan peraturan dipatuhi, tetapi menunjukkan teladan melalui tindakan. Kepercayaan mengambil masa yang panjang untuk dibina, tetapi boleh terhakis dalam masa yang singkat jika integriti dipandang ringan,” jelas beliau ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat UKM 2026 di Persada Canselori, hari ini.
Pada majlis itu, turut Syarahan Kepimpinan dan Integriti bertajuk “Integriti Kita, Nilai Kita” yang disampaikan oleh Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz dalam Bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik UKM, Prof. Tun (Dr.) Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam syarahannya, beliau menekankan bahawa integriti menuntut kebersamaan kolektif serta ketegasan kedaulatan undang-undang tanpa kompromi.
“Perkataan ‘kita’ adalah kata ganti inklusif. Apabila ‘saya’ dan ‘anda’ melebur menjadi ‘kita’, tiada lagi ruang untuk kompromi terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
“Penguatkuasaan mestilah bersifat buta warna terhadap pangkat atau pengaruh. Tiada istilah kecil untuk sebuah ketirisan, kerana kebocoran kecil inilah yang akhirnya mampu menenggelamkan maruah organisasi,” tegas beliau.
Majlis anjuran Pusat Integriti dan Ombudsman UKM itu turut menyaksikan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Integriti, Tatakelola dan Antirasuah UKM (ANITA) 2026. Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merangkul Anugerah Perak, manakala Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat menerima Anugerah Gangsa.
Bagi Pertandingan Deklamasi Sajak Integriti, johan disandang oleh Nik Fatin Husna Mat Ludin dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, diikuti Mursidi Ahamad dari HCTM sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Masilawati Md Asim, juga dari HCTM.


