Etiqa General Takaful Berhad Sumbang RM297,500 kepada UKM

Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Shahiddan Saidi     

BANGI 14 September 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan dana amal jariah daripada Etiqa General Takaful Berhad berupa ‘mock cheque’ bernilai RM297,500 bagi pembinaan Telaga Tiub dan tangki air di Masjid As-Syakirin, Kampung Baru Lanjut, Salak Tinggi Sepang dan juga pembelian peralatan perubatan iaitu satu unit mesin ultrasound dan tiga unit mesin cardioc monitor di Majlis Serahan Sumbangan Etiqa General Takaful Berhad kepada UKM.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Etiqa General Takaful Berhad merangkap Ahli Jawatankuasa Syariah Etiqa General Takaful Berhad, Prof. Datin Dr. Rusni Hassan, dana yang disumbangkan pada hari ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial dan zakat Etiqa (CZR).

“Etiqa Takaful amat peka akan kepentingan menjaga amanah yang diberikan oleh pemegang sijil kami, dan juga kepentingan untuk mengeluarkan zakat kepada mereka yang memerlukannya.

“Maka seperti yang diwar-warkan, Ahli Jawatankuasa Syariah Etiqa telah meluluskan RM297,500 daripada Dana Amal Jariah untuk disalurkan kepada UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Etiqa kepada UKM, di sini.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan itu diharap mampu memberi manfaat buat 12,000 orang penduduk setempat sekitar Masjid As-Syakirin, Kampung Baru Lanjut, Salak Tinggi Sepang dan juga 35,000 orang Warga UKM yang terdiri dari siswa siswi dan kakitangan UKM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama seumpama ini membolehkan pakar-pakar dalam pelbagai latar bidang di UKM turut terlibat sama dalam menyumbangkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka.

“Tahniah saya ucapkan kepada Fakulti Sains dan Teknologi, khususnya Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar kerana mempunyai sejumlah tenaga pakar terlatih dalam bidang air yang mampu berganding bahu Bersama pakar lain,” katanya. Beliau berharap agar kerjasama tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pelbagai program yang dirancang seperti meneruskan projek-projek wakaf pembinaan telaga tiub di kawasan yang mengalami masalah bekalan air dan juga tajaan biasiswa kepada pelajar yang layak.

Leave a Reply