Fakulti Perubatan dan NK Biocell Jalin Kerjasama Adaptasi Teknologi Terapi Kanser dari Korea

Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 30 September 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regenaratif (CTERM), Fakulti Perubatan UKM menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama NK Biocell Sdn. Bhd. bagi menjalankan kajian bersama untuk menghasilkan semula sel tisu seperti yang diadaptasi dari teknologi yang telah dijalankan di Korea.

Kajian berkenaan Natural Killer Cell atau dikenali sebagai NK cell immune cell theraphy  “MYJ1633” adalah bioteknologi berasal dari Korea yang bertujuan untuk membangunkan sel terapi yang berfungsi untuk membunuh sel kanser. Setelah hasil daripada kajian diluluskan, maka ia akan dipasarkan untuk rawatan pesakit kanser di Malaysia.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, NK Biocell Sdn Bhd telah berjaya memindahkan teknologi terapi imun NK Cell yang berteknologi Korea ke Malaysia pada Mac 2021 dan teknologi ini bakal digunakan untuk rawatan kanser.

“NK Biocell telah memilih UKM melalui CTERM untuk menjalankan kerjasama lanjut dalam menghasilkan MYJ1633 bagi rawatan imunoterapi,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoA antara UKM dengan NK Biocell Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Sementaraa itu, Ketua Pegawai Eksekutif NK Biocell Sdn. Bhd. Dr. Park Ji-Youn menzahirkan harapan agar hasil daripada kajian ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan sasaran.

“Kami percaya bahawa terapi sel imun ini mampu memberi faedah kepada rakyat di Malaysia khususnya kepada pesakit kanser dan autoimun.”

UKM berharap melalui kerjasama ini dapat membuka ruang kepada lebih banyak lagi kajian berkenaan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit yang boleh dikilangkan melalui makmal GMP yang disahkan serta penglibatan oleh CTERM UKM.

Leave a Reply