Fakulti Perubatan Jalin Kerjasama dengan Syarikat dari Jepun

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 15 Julai 2022 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Leave A Nest Co., Ltd., iaitu sebuah syarikat di Jepun yang mempunyai kedudukan akademik yang kukuh.

Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarasid berkata kerjasama itu adalah satu penghargaan buat UKM kerana Leave A Nest telah melebarkan sayapnya dengan mengadakan kerjasama stategik ke seluruh dunia terutamanya melalui program Tech Planter.

“Dengan visi Memajukan Sains dan Teknologi untuk Kebahagiaan Global, Leave A Nest mempromosikan bukan sahaja evolusi manusia tetapi juga kemajuan seluruh bumi dengan menggunakan sains dan teknologi yang sentiasa menjadi asas perubahan.

“Saya percaya visi itu pastinya selaras dengan dengan visi kerajaan anda (Jepun) untuk menuju ke arah Masyarakat 5.0,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dengan Leave A Nest, di sini.

Katanya, beliau yakin kerjasama itu akan saling memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak dan akan menyumbang banyak hasil ke arah menambah baik kedua-dua organisasi.

“Kami berharap usaha bersama dalam bidang akademik yang dimulakan melalui Makmal Inovasi Teknologi Kesihatan yang terletak di kampus ini akan terus berkembang melangkaui semua sempadan dan melibatkan lebih banyak lagi entiti di UKM.

“Pelantikan Profesor Adjung, penyeliaan pelajar, dan mobiliti pelajar ke Jepun di bawah Leave A Nest, mungkin merupakan bidang lain yang boleh diterokai melalui MoU ini,” katanya

Beliau juga berharap agar kerjasama itu dapat diteruskan dengan kolaborasi bersama rakan industri lain di bawah Leave A Nest, ke arah pembinaan kapasiti sumber manusia.

“Kami juga mengambil perhatian tentang tawaran biasiswa pascasiswazah yang telah diiklankan dalam Nest Garage keluaran Jun baru-baru ini, penerbitan rasmi anda, yang turut menampilkan Makmal Inovasi Teknologi Kesihatan kami, yang melaluinya (makmal) MoU ini diwujudkan,” katanya. Dokumen MoU itu ditandatangi oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah yang mewakili UKM dan Dr. Yukihiro Maru yang merupakan wakil Pengarah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leave a Nest Co., Ltd.

Leave a Reply