Gagal Hamil, Salah Wanita Atau Lelaki

Oleh Khairatul NadiaRamli

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Isu ketidaksuburan dalam kalangan pasangan berkahwin merupakan satu isu penting yang menjejaskan kira-kira 15 peratus pasangan di seluruh dunia.

Namun, masih wujud tanggapan bahawa ketidaksuburan hanya berkaitan dengan wanita, sedangkan statistik terkini menunjukkan hampir separuh daripada kes berpunca daripada faktor lelaki. Realiti ini masih kurang difahami dan jarang dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat.

Menurut Pensyarah Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Farah Hanan Fathihah Jaffar, masyarakat terlalu biasa meletakkan beban kepada wanita apabila pasangan gagal memperoleh zuriat, sedangkan data dari kajian makmal dan klinikal menunjukkan masalah lelaki menyumbang sebanyak 50 peratus kepada penyebab kegagalan tersebut.

“Tanggapan umum bahawa wanita sahaja perlu dipersalahkan dalam isu ini adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata ramai lelaki masih enggan tampil menjalani pemeriksaan kerana stigma sosial dan tekanan emosi yang dikaitkan dengan ‘kejantanan’.

“Keengganan ini menyebabkan pasangan terlewat mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

“Semakin awal masalah dikenal pasti, semakin besar peluang untuk rawatan berjaya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi Pensyarah Jabatan Fisiologi UKM, Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Ibrahim menegaskan bahawa isu itu bukan sahaja bersifat perubatan tetapi turut melibatkan sikap tingkah laku dan kepercayaan.

“Lelaki sering menafikan masalah kesuburan mereka kerana masih mampu menghasilkan air mani, sedangka, penghasilan air mani tidak menjamin kejayaan proses persenyawaan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan asas makmal untuk lelaki adalah melibatkan analisis air mani.

“Ia adalah prosedur yang mudah tetapi penting untuk menilai tahap kesuburan lelaki. Ujian ini memberikan maklumat seperti isipadu air mani, tahap keasidan, serta kualiti sperma dari aspek bilangan, pergerakan, dan bentuk sperma.

“Ketidaknormalan dalam mana-mana aspek ini boleh menghalang proses persenyawaan daripada berlaku,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Siti Fatimah, peranan pendidikan kesihatan dan sokongan emosi amat penting dalam mengubah persepsi masyarakat.

“Kita perlu menggalakkan pendekatan yang lebih terbuka dan menyeluruh, termasuk memberi pendidikan awal tentang kesuburan kepada golongan muda,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan yang semakin terbuka membincangkan isu ini di peringkat dasar, seperti yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu di Dewan Negara pada tahun 2023.

Isu kesuburan lelaki tidak boleh dipandang remeh. Kesedaran awal, sokongan berterusan serta kerjasama dan kefahaman antara pasangan amat penting dalam merealisasikan impian memiliki zuriat. Usaha pelbagai pihak turut diperlukan bagi menyokong pasangan yang menghadapi cabaran ini, seterusnya membantu melambatkan proses dan mengurangkan risiko negara menuju status “negara menua”.

Dr. Farah Hanan Fathihah Jaffar
Pensyarah Jabatan Fisiologi
Fakulti Perubatan, UKM

Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Ibrahim
Pensyarah Jabatan Fisiologi
Fakulti Perubatan, UKM

Leave a Reply