GlobalASEAN.org – Platform Baharu Akses Dokumen Dasar, Amalan terbaik dan Sumber Pembelajaran

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

LANGKAWI, 18 Jun 2025 –  Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir melancarkan GlobalASEAN.org; sebuah platform dalam talian yang dibina oleh pasukan penyelidik dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS UKM).

Platform ini secara dasarnya berfungsi sebagai hab pengetahuan dan ruang perkongsian ilmu untuk membantu pihak berkepentingan ASEAN mengakses dokumen dasar, amalan terbaik dan sumber pembelajaran berterusan. 

Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry berkata GlobalASEAN.org berfungsi sebagai gerbang pembelajaran yang menawarkan latihan, kelayakan mikro dan program peningkatan kemahiran untuk belia, pendidik dan penggubal dasar, selain turut berfungsi sebagai platform yang menghubungkan kerajaan, universiti, industri serta rangkaian pendidikan dan ekonomi serantau dalam mencari penyelesaian bersama pelbagai cabaran masa hadapan.

“Pelancaran GlobalASEAN.org dilihat sebagai titik permulaan penting bagi rantau ini dalam membina identiti ASEAN, sekaligus menjadi pusat pemindahan ilmu, pembinaan bakat dan pengembangan potensi individu yang progresif dan inklusif,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Forum on Talent Development And Future Technologies Toward 2045, di Langkawi International Convention Centre (LICC), hari ini.

Beliau berkata GlobalASEAN.org bukan sekadar laman sesawang tetapi satu gerbang pembelajaran serantau yang menyediakan pelbagai sumber seperti latihan dalam talian, program ‘micro-credential’, bahan peningkatan kemahiran dan akses kepada dasar awam yang boleh dimanfaatkan oleh belia, pendidik, penggubal dasar serta institusi.

“Platform ini menjadi wadah kolaboratif merentas sempadan, melibatkan kerjasama antara kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), industri dan komuniti ASEAN dalam merangka penyelesaian bersama terhadap cabaran masa hadapan, selari dengan aspirasi Kerangka ASEAN 2045.

Pembangunan platform kelolaan IKMAS UKM ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak seperti TalentCorp dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA). 

Forum on Talent Development And Future Technologies Toward 2045 adalah cara rasmi sampingan (official side event) kepada Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025.

Forum yang dihadiri oleh para menteri dan wakil dari negara-negara ASEAN yang bertanggungjawab membangunkan polisi awam, pendidikan tinggi, pemimpin perniagaan dan kepakaran pelbagai sudut ini diadakan bagi berkongsi penyelidikan dan pandangan tentang ASEAN sebagai hab pembangunan bakat dalam teknologi masa depan dan sektor baharu. 

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata program itu adalah berkenaan dengan siri pembangunan bakat untuk masa hadapan bagi membincangkan tentang bagaimana membangunkan bakat bagi masa hadapan, terutamanya untuk menyokong pembinaan komuniti ASEAN menjelang 2045.

“Ada banyak bakat yang terdapat di negara-negara ASEAN yang lain yang mungkin kita boleh gunakan dan dapatkan bagi membangunkan ekonomi di negara ASEAN. Ini adalah satu kolaboratif di antara tonggak ekonomi dan juga tonggak socio-kultural yang meliputi pendidikan tinggi di negara-negara ASEAN,” katanya.

Turut menghadiri kedua-dua acara ialah Pengurusan Tertinggi KPT; President ERIA, Prof Tetsuya Watanabe, Pengurusan Tertinggi UKM dan Timbalan Pengerusi TalentCorp, Encik Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Leave a Reply