HEP Lancar Pelan Strategik 2023-2026

Oleh Kogileswari Vellisamy
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Jun 2023 –   Pusat Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (HEP-UKM) hari ini melancarkan Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi tempoh 2023 hingga 2026 yang menggariskan strategi dan inisiatif pemerkasaan mahasiswa melalui kebebasan dan kuasa bersesuaian.

Pelan Strategik ini menyokong dua agenda utama universiti iaitu kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan supaya meneruskan kemaraan UKM.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pelan yang berpaksikan Malaysia Madani ini mempunyai kesinambungan kepada inisiatif pemerkasaan mahasiswa UKM.

“HEPA berperanan untuk menyahut semangat agenda Malaysia Madani seperti mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif dengan menaik tarafkan fasiliti penginapan dan pelaksanaan program kampus digital@tanpa tunai”, katanya ketika melancarkan Pelan Strategik HEPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Dalam masa yang sama beliau juga berkongsi konsep Kolej Akademia, iaitu menjadikan kolej sebagai platform pembelajaran sepanjang hayat yang menyerlahkan potensi bakat dan kreativiti bagi memperkasa kemenjadian pelajar.

Tambahnya, HEPA diharap untuk bertindak secara kompeten dalam melahirkan mahasiswa Madani yang hebat dan menjadi nadi dalam kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara.

Pada majlis tersebut, Pusat Tanggungjawab di bawah HEPA yang terdiri daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam, Pusat Kesihatan, Pusat Perumahan Pelajar, Pusat Kesatria, Pusat Sukan, Kolej Akademia, PD HEPA, Pusat Alumni dan Pusat Kebudayaan menyerlahkan hala tuju buat masa hadapan melalui pembentangan yang amat unik. Pelancaran majlis ini dikunjungi oleh hampir lima ribu peserta yang terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi UKM, wakil dari Universiti Awam serta mahasiswa UKM.

Leave a Reply