Hidrogel Bioaktif Mampu Sembuhkan Luka Kronik Dengan Pantas

Oleh Salleh Sulieman
Foto Fakulti Perubatan

CHERAS – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membangunkan teknologi biopercetakan-3D yang dapat mempercepatkan penyembuhan luka kronik.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd. Fauzi Mh Busra dari Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (CTERM), Fakulti Perubatan UKM berkata, teknologi biopercetakan-3D tersebut melibatkan pembuatan formulasi biodakwat yang terdiri daripada sel kulit dengan biobahan dalam bentuk hidrogel.

“Penemuan ini dijangka dapat membantu pesakit kronik seperti ulser diabetik dan luka terlantar di katil yang lama (bedsore) untuk sembuh dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau menjelaskan, biodakwat tersebut diperbuat daripada gelatin, polivinil-alkohol (PVA), serta agen taut-silang semula jadi yang dikenali sebagai genipin yang diekstrak daripada tumbuhan debunga atau gardenia jasminoides.

Seterusnya, biodakwat gelatin-PVA (GPVA) yang ditaut-silang oleh genipin akan dicetak dengan suhu dan kepekatan yang ideal.

Beliau menambah, biodakwat ini mempunyai ciri-ciri yang unik seperti bioserasi terhadap sel kulit manusia, bersifat biodegradasi dan boleh dicetak menggunakan percetakan-3D sebagai pengganti kulit bagi membantu pemulihan semula tisu baru selepas implan.

“Hasil kajian saintifik formulasi biodakwat GPVA mengandungi tahap antioksida yang tinggi serta menunjukkan sifat bioserasi terhadap sel kulit manusia, merangsang pembentukan salur darah, dan tidak menunjukkan tindak balas imun,” katanya.

Melalui penemuan yang dibuat, biodakwat ini akan berintegrasi dengan kulit normal di kawasan luka dan menggalakkan sel tisu kulit normal bergerak ke kawasan implan biodakwat ini dan berinteraksi dengan sel-sel yang dicetak bersama biodakwat.

Luka tersebut akan pulih dengan lebih pantas kerana biodakwat merupakan “rumah sementara” bagi sel untuk membiak dan matang serta menghasilkan komposisi matriks kulit yang normal.

Meskipun penyelidikan masih di peringkat percubaan praklinikal, namun model haiwan diabetik telah menunjukkan penyembuhan selama 15 ke 17 hari bergantung pada setiap tikus tersebut dan berada dalam keadaan yang sediakala.

Beliau mengulas, setakat ini tiada tanda penolakan imun tubuh penerima melalui kajian in vitro dan model haiwan.

“Secara asas bahan yang digunakan tiada faktor aruhan yang jelas dan boleh digunakan oleh pelbagai pesakit pada masa hadapan,” katanya.

Penyelidikan ini bermula sejak tahun 2020 dan disertai oleh beberapa orang penyelidik lain dari bidang seperti kejuruteraan dan bioperubatan.

Biodakwat dalam penyelidikan telah mendapat kebenaran Jawatankuasa Etika Manusia UKM dan Etika Haiwan UKM. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan masa hadapan pesakit perlu melalui Medical Device Authority, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penyelidikan ini juga telah menerima pelbagai geran seperti Kementerian Pengajian Tinggi melalui FRGS, geran dalaman Fakulti Perubatan, UKM dan geran-geran industri daripada pihak rakan usahasama yang melebihi RM500,000.

Leave a Reply