i-CITRA 2026 Perkukuh Pendidikan Liberal Rentas Disiplin dan Pembinaan Negara Bangsa

BANGI, 2 Oktober 2026 – Perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan dunia pekerjaan dan cabaran masyarakat yang semakin kompleks menuntut universiti melihat semula peranan pendidikan tinggi dalam membentuk graduan masa hadapan.

Menyedari kepentingan ini, Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan i-CITRA International Virtual Conference on Liberal Studies 2026 (i-CITRA 2026) yang mengetengahkan kepentingan pendidikan liberal dan rentas disiplin dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan teknologi dan pekerjaan, tetapi mampu mengintegrasikan ilmu, membuat pertimbangan secara beretika, memahami masyarakat serta terus belajar sepanjang hayat.

Dalam ucaptama i-CITRA 2026,  Prof. Dr. Khairul Anwar Mastor yang merupakan bekas Dekan FPSC menekankan bahawa dalam era AI, pendidikan tinggi perlu bergerak melangkaui penguasaan maklumat kepada pembentukan keupayaan manusia untuk menghubungkan ilmu, menilai maklumat, menyesuaikan diri dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Sementara itu, sesi Forum Pelaksanaan dan Hala Tuju Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di Malaysia pula mengangkat pembinaan negara bangsa sebagai satu lagi tanggungjawab penting pendidikan liberal.

Menurut Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, MPU bukan hanya keperluan akademik atau syarat bergraduat, tetapi lebih daripada itu.

“MPU perlu menjadi ruang untuk mahasiswa memahami Malaysia secara lebih menyeluruh, termasuk sejarah, sistem pemerintahan, federalisme, kepelbagaian masyarakat dan perjuangan kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Osman Bakar pula menegaskan bahawa matlamat pendidikan umum bukan sekadar melengkapkan bidang profesional seseorang.

“Melalui MPU ini, kita akan menyumbang untuk melahirkan manusia yang lebih baik, warganegara yang lebih baik dan warga global yang lebih baik,” katanya.

Perbincangan sepanjang i-CITRA 2026 memperlihatkan bahawa pendidikan liberal kekal relevan dalam menghubungkan teknologi dengan etika, ilmu dengan masyarakat, kebolehpasaran dengan keupayaan sepanjang hayat serta pendidikan dengan tanggungjawab kepada negara.

Dalam dunia yang terus berubah, universiti bukan sahaja perlu menyediakan graduan untuk pekerjaan masa hadapan, tetapi turut membentuk insan yang memahami masyarakatnya, menghargai kepelbagaian dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

Leave a Reply