Inovasi UKM Raih Dua Pingat Emas di Beijing

Oleh Murniati Abu Karim
Foto HCTM dan Jabatan Bendahari

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkul dua pingat emas di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2023 yang telah berlangsung di Beijing, China.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan UKM dalam merancakkan aktiviti inovasi, membuktikan potensi kreativiti dan kecekapan tenaga kerja warga universiti.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi yang memberi impak besar kepada universiti dan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, emas pertama diraih melalui penghasilan inovasi ‘MP-Cradle’ oleh pasukan Jabatan Radiologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang memberi perlindungan sinaran radiasi yang optimum kepada kanak-kanak ketika pemeriksaan x-ray.

Beliau berkata, inovasi ini menawarkan perlindungan radiasi kepada pesakit kanak-kanak yang sangat sensitif terhadap radiasi, memberikan perlindungan yang efektif untuk menjaga kesihatan mereka semasa prosedur perubatan.

“Ia juga boleh mengatasi masalah kesukaran pemposisian pesakit kanak-kanak yang yang tidak memahami arahan, dan berfungsi sebagai alat cegah gerak untuk mengelakkan gerakan yang tidak terkawal dari pesakit kanak-kanak.

“Alat ini menyediakan perlindungan radiasi yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pemeriksaan dan sesuai digunakan untuk pelbagai jenis mesin pengimejan perubatan,” katanya.

Selain menggunakan bahan kitar semula yang mesra alam, alat ini juga telah diperakui keberkesanannya oleh pakar bertauliah, jelasnya.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan memaklumkan emas kedua diterima melalui projek Delay of Supplier Payment dari Jabatan Bendahari.

“Kumpulan ini telah berjaya menghasilkan inovasi yang berpaksikan pelanggan melalui pendigitalan dan automasi proses bayaran e-perolehan UKM dari proses tuntutan hingga pembayaran ke akaun pembekal,” katanya.

Beliau berharap agar pencapaian ini dapat mendorong universiti supaya terus menjadi pusat penyelidikan terkemuka dan hasilnya dapat dikongsi bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

Leave a Reply