Jangan Pandang Mudah Rabun Kanak-Kanak

Penglihatan merupakan deria utama manusia. Masalah penglihatan yang kerap dialami oleh kanak-kanak dan remaja adalah rabun jauh. Rabun jauh atau juga dikenali sebagai miopia merupakan keadaan dimana seseorang mengalami kabur penglihatan jauh tetapi jelas penglihatan dekat. Simtom lain rabun jauh meliputi kerap mengecilkan mata apabila melihat objek jauh, gemar menonton televisyen pada jarak dekat, kerap mengadu sakit kepala dan mengalami tekanan pada otot mata. Kanak-kanak miop yang tidak dirawat juga sukar untuk fokus dan mempunyai pencapaian akademik yang rendah berbanding kanak-kanak yang berpenglihatan normal.

Kanak-kanak miop sering mengadu kesukaran untuk melihat tulisan guru diatas papan putih didalam kelas. Miopia sering dianggap sebagai suatu keadaan yang tidak membahayakan kerana beranggapan yang ianya mudah dirawat menggunakan kaca mata, kanta sentuh atau surgeri refraktif.

Namun, miopia yang tidak dikawal boleh menyebabkan miopia tinggi (5 Diopter keatas) berlaku dan mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mendapat katarak, dua kali ganda mendapat glaukoma dan enam kali ganda mendapat lekangan retina berbanding normal. Miopia yang tidak dikesan dan dibiarkan tanpa rawatan juga boleh menyebabkan ambliopia atau mata malas. Ambliopia menyebabkan kanak-kanak terus mengalami defek penglihatan dan menjadi juling hingga dewasa, sekiranya tiada rawatan diberikan.

Penyakit okular akibat komplikasi miopia menyebabkan peningkatan beban ekonomi kepada negara akibat kos rawatan yang tinggi di samping boleh menyebabkan buta jika tidak di kesan dan dirawat awal. Komplikasi miopia menyumbang kepada penurunan produktiviti melalui pertambahan cuti sakit, kos rawatan dan sebagainya. Adalah dianggarkan hampir 10 peratus penduduk dunia akan menjadi miop tinggi menjelang 2050. Kos rawatan miopia pula dijangka meningkat dari USD 94.5 billion kepada 223.9 billion setahun yang melibatkan pembelian kacamata, kanta lekap, ubat dan surgeri. Oleh itu kawalan perkembangan miopia amat penting dilakukan diperingkat awal bagi mengurangkan kesan komplikasi miop tinggi serta peningkatan beban ekonomi negara.

Miopia kini telah menjadi salah satu masalah kesihatan awam dunia akibat peningkatan drastik peratusan populasi miop, terutama dibenua Asia. Kajian menganggarkan peningkatan peratusan miopia dari tahun 2000 hingga 2050 di rantau Asia Tenggara adalah dari 39 peratus ke 62 peratus dan dari 50 peratus ke 66 peratus di rantau Asia Pasifik. Peningkatan peratusan miopia paling tinggi adalah dikalangan kanak-kanak dan remaja. Singapura dan Taiwan adalah antara negara yang mempunyai peratusan tinggi kanak-kanak miop, dimana lebih dari 60% kanak-kanak di negara tersebut menjadi miop apabila usia mereka mencecah 12 tahun.

Kajian dalam kalangan kanak-kanak Melayu di sekitar Kuala Lumpur turut menunjukkan peningkatan peratusan yang merisaukan mengikut peningkatan umur, iaitu 7.7 peratus untuk usia 7 tahun dan 30.70 peratus untuk usia 15 tahun. Data terkini turut menunjukkan peningkatan tinggi peratusan kanak-kanak miop pada usia 7-8 tahun, iaitu dari 7.7 pada 2005 ke 35.8 peratus pada 2024.

Keadaan ini membimbangkan kerana terdapat kebarangkalian tinggi kanak-kanak ini mengalami masalah penyakit mata di masa hadapan jika miopia tidak dikawal dari sekarang.  Miopia turut memberi kesan kepada pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak, dimana kajian menunjukkan pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak miop yang tidak dirawat adalah lebih rendah berbanding normal. Kesukaran untuk melihat semasa sesi pembelajaran didalam kelas menyebabkan pencapaian akademik serta keyakinan diri menurun berbanding kanak-kanak yang berpenglihatan normal. Kajian turut membuktikan peningkatan pencapaian akademik bagi kanak-kanak yang memakai kacamata semasa mengikuti pembelajaran berbanding semasa tidak mendapat rawatan untuk miopia.

Oleh itu, ibubapa mesti membawa kanak-kanak untuk menjalani pemeriksaan mata dengan Optometris setiap tahun bagi memastikan penglihatan mereka berada pada tahap optimum dan tidak menjejaskan pencapaian akademik serta keyakinan diri kanak-kanak semasa menjalani pembelajaran di sekolah. Pemeriksaan mata kanak-kanak sekolah setiap tahun mesti dijadikan mandatori bagi memastikan kanak-kanak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.Ibubapa dan guru sekolah juga mesti peka dengan masalah penglihatan yang diadukan oleh kanak-kanak dan membawa mereka untuk menjalani pemeriksaan bagi memastikan pengesanan serta rawatan awal dapat diberikan.

Antara faktor risiko yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kuasa miopia adalah tabiat membaca atau menggunakan gajet secara berlebihan tanpa rehat, terutama pada jarak dekat (kurang dari 30 cm).

Tabiat ini menyebabkan otot mata kurang berehat dan seterusnya meransang peningkatan kuasa miopia dengan cepat. Ini dibuktikan dengan peningkatan peratusan miopia sebanyak tiga kali ganda dikalangan kanak-kanak selepas wabak COVID-19 melanda dunia berbanding sebelumnya, akibat gemar menggunakan gajet secara berlebihan untuk tujuan pembelajaran dan bermain.

Selain itu, kurang masa bermain diluar rumah, atau dipadang permainan turut menjadi faktor peningkatan kuasa miopia. Apabila berada diluar rumah, otot mata tidak lagi memfokus kepada tulisan kecil yang terdapat pada buku atau gajet. Sebaliknya otot mata lebih berehat apabila melihat jauh dan ini membantu melewatkan perkembangan miopia.

Oleh itu, selain dari menjalani pemeriksaan mata, ibubapa disarankan untuk mengubah gaya hidup kanak-kanak miop. Penggunaan gajet mesti dihadkan antara 2 jam sehari dan kanak-kanak mesti digalakkan bermain dan beriadah sekurang-kurangya 1.5 jam sehari untuk melewatkan perkembangan miopia.

Pastikan pencahayaan mencukupi serta elakkan kanak-kanak dari memegang buku atau menggunakan gajet pada jarak yang terlalu dekat dengan mata (kurang dari 30 cm). Membaca atau menggunakan gajet pada jarak dekat menyebabkan otot mata menjadi tegang dan ini seterusnya menyebabkan penglihatan jauh menjadi kabur.

Terdapat pelbagai jenis rawatan seperti priskripsi ubat titis, kanta kaca mata dan kanta lekap khas serta teknik ortokeratologi yang boleh dicadangkan oleh Optometris untuk mengawal perkembangan miopia kanak-kanak. Pemeriksaan mata yang terperinci mesti dilakukan terlebih dahulu keatas kanak-kanak tersebut sebelum Optometris memberi sebarang cadangan.

Namun, pemahaman serta komitmen yang tinggi dari ibubapa merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan rawatan kawalan miopia kanak-kanak dan mengurangkan risiko hilang penglihatan dimasa hadapan. Ibubapa mesti peka terhadap masalah penglihatan yang dialami oleh anak mereka dan segera mendapatkan rawatan.

Prof Dr Bariah Mohd Ali
Profesor Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM
Presiden Pertubuhan Akademi Optometri Malaysia (PAOM)

Leave a Reply