John Sebastian Penyambung Legasi Keluarga

Oleh Ahmad Fayyadh Muhamad
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2022Anak kelahiran negeri Sabah, John Sebastian, 24, menjadikan datuk dan neneknya sebagai inspirasi untuk menyambung legasi mereka sebagai seorang pendidik.

Pada mulanya, John tidak memasang niat untuk menjadi seorang guru, akan tetapi beliau sebagai cucu pertama ingin mengikut jejak langkah datuk dan neneknya yang pernah dianugerahkan Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Sabah.

Beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kali ke-50.

Graduan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Pendidikan ini berkata beliau telah mula memasang impian dan merancang strategi belajar bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu anugerah pada hari konvokesyen.

Ini kerana kerana beliau teruja melihat rakan-rakan seperjuangan yang lain menerima Anugerah Di-Raja, Anugerah Tun Razak dan ini membuatkan beliau terus bersemangat untuk mendapatkan satu anugerah pada hari yang bersejarah ini.

“Saya bukanlah seorang pelajar yang terlalu bijak, akan tetapi saya bersedia untuk bekerja keras untuk memastikan saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda saya dengan penuh rasa bangga,” tambahnya.

John berkata, beliau memilih untuk menyambung pengajian di Semenanjung kerana ingin mencabar diri serta keluar daripada ruang selesanyadan menimba seberapa banyak pengalaman untuk dibawa pulang ke kampung halamannya selepas tamat belajar.

Terkini, beliau bertugas sebagai Felo Perdana kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, selain pernah bergelar Presiden UKMbassadors, Yang di-Pertua Angkatan Mahasiswa Antirasuah, Timbalan Ketua Eksekutif, Kolej Burhanuddin Helmi dan beberapa jawatan penting yang lain.

Leave a Reply