Kanser Hati Antara Lima Kanser Paling Lazim di Malaysia

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 6 Februari 2024 – Kanser hati menjadi antara kanser paling lazim yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selain kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser nasofaring.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kadar kematian kanser hati melonjak secara global yang didorong oleh wabak obesiti dan diabetes.

“Kanser hati primer mempunyai salah satu prognosis yang paling teruk kerana sering didiagnosis pada peringkat lewat apabila gejala telah muncul.

“Hepatitis B adalah penyebab paling lazim untuk kanser hati primer di seluruh dunia termasuk Malaysia dan menyumbang kepada 44 peratus daripada kes kanser hati, diikuti penyakit hati berlemak dengan 42 peratus kes,” katanya.

Beliau berkata laporan oleh World Obesity Atlas 2023 turut menyatakan bahawa Malaysia bakal mengalami peningkatan sangat tinggi dalam kadar obesiti dewasa dan kanak-kanak.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terkini melaporkan prevalensi berat badan berlebihan dan obesiti pada 50 peratus bagi orang dewasa dan 30 peratus bagi kanak-kanak dan diramalkan meningkat setiap tahun.

“Obesiti sering dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit hati berlemak atau disebut Metabolic Dysfunction Associated Fatty Liver Disease (MAFLD) yang dengan cepat menjadi punca paling utama kanser hati.

“Namun, kanser hati boleh dicegah sama ada melalui imunisasi Hepatitis B atau rawatan awal penyakit hati yang dikesan pada pesakit yang diketahui hepatitis atau sirosis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di sini, baru-baru ini.

Hari Kesedaran Kanser Hati itu dianjurkan oleh Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM).

Dalam perkembangn sama, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata pakar telah meramalkan bahawa penyakit kanser di Malaysia dijangkan akan terus meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

“Sebanyak 48,639 kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser telah dilaporkan di negara ini pada tahun 2020 seperti yang dilaporkan oleh Globocan,” ujarnya.

Leave a Reply