Karnival Kesihatan Beri Pendedahan Penjagaan Kesihatan Secara Menyeluruh

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Jun 2023 – Karnival Kesihatan Sedunia 2023 Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan di Pusanika, baru-baru ini telah memberi pendedahan secara menyeluruh berkenaan penjagaan kesihatan yang merangkumi kesihatan tubuh badan, mental, pemakanan sihat, penjagaan mata dan kecergasan.

Dengan tema Health for all, karnival yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan UKM ini telah mendapat kerjasama daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Kesatuan Mahasiswa (KMUKM), Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Wellness Hub.

Pengarah HEP, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata tema program adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan mengenai komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda kesihatan untuk semua bagi mempromosi kesihatan dan memelihara kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Saya berharap program ini dapat memberi kesedaran kepada warga UKM untuk menjalankan saringan kesihatan secara berkala sebagai langkah berjaga-jaga dalam pencegahan penyakit.

“Dengan penerapan strategi pencegahan penyakit iaitu primary, secondary dan tertiary prevention, kita dapat mewujudkan warga UKM yang sihat dari segi fizikal, mental dan sosial,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Sedunia 2023 Peringkat UKM, di sini. Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut meluangkan masa melawat 15 reruai yang ada di karnival tersebut iaitu demonstrasi makanan sihat, info Pusat Kesihatan UKM, pameran berhenti merokok, pameran sexual transmitted disease HIV/ AIDS, demonstrasi CPR, pameran pergigian, pameran Aedes dan kebersihan makanan, pameran penyimpanan ubat, saringan kesihatan mental, info Unit Kauseling HEP, demonstrasi fisioterapi, saringan kesihatan, saringan optometri, demonstrasi perubatan serta saringan kecergasan.

Leave a Reply