Karnival Konvokesyen UKM 2023 Anjuran Mahasiswa UKM Sepenuhnya

Oleh Ayu Maisarah Lutas Asril dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun ini telah dianjurkan sepenhnya oleh Sekretariat Karnival Konvokesyen UKM yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti ini.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman berkata pada tahun-tahun sebelum ini, karnival konvokesyen UKM ini dilaksanakan dan dikendalikan oleh syarikat yang dilantik.

“Tetapi pada kali ini, selari dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi di bawah agenda ke 11 iaitu pemerkasaan mahasiswa, UKM berikan sepenuhnya pengurusan karnival konvokesyen kepada para pelajar UKM untuk mengendalikannya.

“Program Karnival Konvokesyen telah membuktikan bahawa Sekretariat Karnival Konvokesyen seramai hampir 350 orang adalah sebuah organisasi yang dinamik dan mempunyai cita-cita yang tinggi bagi menjayakan sesebuah program yang besar seperti ini.

“Setiap kali penganjuran, Sekretariat Karnival Konvokesyen telah mengambil pendekatan yang pelbagai bagi memastikan karnival ini lebih menarik dan berbeza berbanding dengan Karnival Konvokesyen yang lepas,” katanya.

Beliau memuji kemampuan pelajar melakukan usahasama dengan badan-badan atau organisasi luar dalam menganjurkan pelbagai program dalam karnival ini

“Saya berharap mahasiswa dapat menjadikan pengalaman berurusan dengan pihak luar ini sebagai panduan untuk menghadapi dunia luar kampus yang lebih mencabar.

“Kerjasama ini juga diharap dapat melahirkan individu yang berketerampilan, berdaya saing dan berupaya mengembangkan lagi bidang komunikasi berorganisasi dalam diri setiap mahasiswa.

“Kecemerlangan mahasiswa bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam menggalas tugas yang lebih mencabar termasuk dalam bidang pengurusan sesebuah organisasi,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama enam hari bermula 25 hingga 30 November ini menampilkan jualan gerai makanan dan cenderamata, bersama 23 program lain, seperti Larian Neon, Gelanggan Sukan Maya, Malam Rindu Rasul dan banyak lagi.

Leave a Reply