Oleh Melor Suria Minhat
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 30 September 2026 – Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Karnival UMBI 2026 bagi meraikan pencapaian Projek Usahawan Mikro Berbudi Daya (UMBI) dalam memperkasa usahawan mikro melalui pendekatan berasaskan penyelidikan, pemindahan ilmu dan bimbingan perniagaan.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang berkata penglibatan golongan wanita yang merangkumi 74.3 peratus daripada peserta Projek UMBI adalah cerminan pemerkasaan ekonomi keluarga yang amat penting.
“Maka pemerkasaan wanita melalui perniagaan mikro adalah satu pelaburan perniagaan langsung kepada kesejahteraan dan jaminan masa depan komuniti kita.
“Kepada para usahawan, jangan pernah malu untuk bermula kecil, tetapi malulah jika kita enggan untuk berubah,” katanya.
Beliau berkata Malaysia tidak akan mampu membina ekonomi bernilai tinggi jika membiarkan peniaga di peringkat akar umbi bergelut sendirian.
“Apabila usahawan mikro kita kuat, institusi keluarga kita akan utuh, komuniti kita akan berdaya tahan dan ekonomi negara akan kebal menghadapi apa jua cabaran,” kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata Karnival UMBI menggabungkan penyelidikan, pemindahan ilmu, bimbingan perniagaan dan penilaian impak dengan menjadikan usahawan mikro sebagai rakan dalam proses penyelidikan.
“Usahawan bukan sekadar peserta kajian, tetapi rakan yang turut membentuk persoalan, proses pembelajaran dan penyelesaian,” katanya.
Menurut Prof. Dr. Bariah, pengalaman usahawan berkaitan kos, pasaran, teknologi, lokasi dan daya tahan perniagaan penting dalam membantu penyelidik memahami keperluan sebenar komuniti serta memperkukuh pembangunan program pada masa hadapan.
UMBI adalah projek yang dilaksanakan selama tiga tahun bermula 2025 dan dijangka selesai pada 2027, diketuai oleh Felo Penyelidik IKMAS, Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman dengan sokongan The Coca-Cola Foundation menerusi Coca-Cola Malaysia.
Projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan mikro, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, melalui pendekatan yang turut mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan komuniti.

